
KUALA LUMPUR - Polis akan menjalankan siasatan terhadap bapa seorang pelakon remaja, Puteri Balqis Azizi yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap anak kandungnya itu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis dibuat mangsa pada jam 10.25 malam semalam.
“Laporan polis sudah diterima daripada pelakon remaja berusia 15 tahun yang menyatakan mangsa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikan mangsa.
“Mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit ayah kandungnya. Kejadian tersebut berlaku sejak tahun 2013 hingga tahun 2017,” katanya menerusi kenyataan..
Wan Azlan berkata, pelakon itu juga memberitahu kejadian terbabit berlaku ketika mangsa berusia enam tahun sewaktu tinggal di Subang Jaya.
“Suspek didakwa melakukan gangguan seksual apabila ibu mangsa tiada bersama di rumah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah,” katanya.
Justeru, Wan Azlan berkata, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes itu supaya tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616.
Tegasnya, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Baru-baru ini, Puteri Balqis menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya.
Dia mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk. - Getaran, 6 September 2022
