Gantian paip usang seluruh negara siap 2050 - PAAB

LocalEnvironment
10 Jun 2026 • 6:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gantian paip usang seluruh negara siap 2050 - PAAB
Ir Jaseni (kiri) semasa sesi soal jawab pada program Santuni Madani PAAB dan Forum Kesedaran Kelestarian yang diadakan di MRSM Kuala Krai pada Rabu.

KUALA KRAI - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyasarkan kerja-kerja penggantian kira-kira 39,000 kilometer (km) paip usang di seluruh negara dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang tahun 2050 melibatkan kos melebihi RM50 bilion.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, pelaksanaan projek berskala besar itu perlu dilakukan secara berperingkat dengan perbelanjaan sekitar RM2 bilion setahun berikutan kekangan kewangan serta faktor pelaksanaan di lapangan.

Menurut beliau, kebanyakan paip asbestos yang masih digunakan ketika ini telah melepasi jangka hayat reka bentuk dan perlu diganti secara konsisten bagi mengurangkan kehilangan air terawat yang menyebabkan kerugian kira-kira RM2 bilion setahun.

"Kerja-kerja penggantian paip ini disasarkan siap menjelang 2050. Kita perlu berbelanja kira-kira RM2 bilion setahun kerana paip bocor menyebabkan kerugian sekitar RM2 bilion setiap tahun.

"Bagaimanapun, kerja penggantian tidak boleh dilakukan serentak kerana ia melibatkan jalan raya dan lalu lintas. Kita perlu melaksanakannya secara berperingkat di seluruh negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Santuni Madani PAAB, Forum Kesedaran Kelestarian yang diadakan di MRSM Kuala Krai, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengetua MRSM Kuala Krai, Ismail Deraman; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar; dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan, Zahrail Affenday Mohamed.

Menurut beliau, kos keseluruhan untuk menggantikan rangkaian paip usang itu dianggarkan melebihi RM50 bilion.

Katanya, sehingga kini PAAB telah melabur sebanyak RM46.88 bilion dalam pembangunan infrastruktur bekalan air di seluruh negara.

Tambah beliau, untuk Kelantan PAAB telah melabur RM1.6 bilion setakat Mei lalu bagi pelbagai projek bekalan air termasuk pembinaan loji rawatan air baharu dan penggantian paip.

"Selain pembinaan loji rawatan air, penggantian paip lama juga menjadi fokus utama bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Ir Jaseni berkata, Perlis merekodkan peratusan paip usang tertinggi yang perlu diganti, namun panjang keseluruhannya hanya sekitar 700 km.

Ujar beliau, sebaliknya Kelantan berdepan cabaran lebih besar apabila kira-kira 4,000 km paip perlu diganti, sekali gus memerlukan tempoh lebih panjang untuk diselesaikan.

Beliau memberitahu, usaha penggantian paip itu penting bagi memastikan matlamat menyediakan bekalan air 24 jam sehari dengan tekanan mencukupi kepada pengguna dapat dicapai secara berperingkat di seluruh negara.

View Original Article