
KUALA LUMPUR - Tindakan menggantung sembilan Ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kehakiman tidak akan menyelesaikan masalah.
Sebaliknya, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tindakan itu hanya memberi gambaran tidak ada ada ruang demokrasi dalam PKR selain mengurangkan jumlah Ahli Parlimen parti berkenaan.
Sedangkan, kata beliau, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang sebelum ini mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak ada tindakan diambil.
“Ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung. Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi.
“Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita.
“Menggantung 9 orang Ahli Parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, lebih sedikit dari DAP, BN dan GPS,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR baru-baru ini telah menghantar surat rasmi kepada semua Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berhubungan badan kehakiman.
Bagaimanapun, gesaan penubuhan RCI itu ditolak oleh pembangkang memandangkan Perikatan Nasional (PN) masih sebahagian daripada barisan kerajaan.
Berikutan itu, 19 ketua cabang dari Johor dan 11 ketua cabang PKR dari Kedah menggesa penggantungan Rafizi dan lapan Ahli Parlimen itu kerana dituduh melanggar disiplin parti.
Mengulas lanjut, Rafizi turut memberikan nasihat kepada kepimpinan PKR peringkat cabang dan generasi baharu yang menang pada pemilihan baru-baru ini bahawa parti berkenaan tidak dibina dengan menutup mulut.
PKR, katanya, dinamik kerana sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.
“Kita juga diminati rakyat sebelum ini kerana kita paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.
“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini, untuk menjadi orang besar dan berjawatan,’’ katanya. - 17 Julai, 2025
The post ‘Gantung kami tidak akan selesaikan masalah’ Rafizi ikrar terus bersuara appeared first on Scoop.

