
KUALA LUMPUR – Tindakan tegas perlu diambil ke atas mana-mana Ahli Parlimen yang ingkar dengan peraturan persidangan Dewan Rakyat bagi memberikan pengajaran kepada mereka.
Meskipun mereka dilindungi hak-hak keistimewaan Parlimen, namun Ahli Parlimen tidak boleh membuat kenyataan fitnah serta tidak berasas.
Menurut penganalisis politik, Profesor Madya Jeniri Amir, hukuman gantung tugas merupakan satu kaedah yang boleh dilakukan agar Ahli Parlimen kekal profesional dan beradab ketika Dewan Rakyat sedang bersidang.
Beliau turut memberi contoh mengenai ungkapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin baru-baru ini yang disifatkannya sebagai tidak seharusnya diungkapkan.
"Apa yang beliau buat tempoh hari hanya mengganggu kelancaran sidang dewan dan hampir 30 minit terbuang masa disebabkan kekecohan itu.
"Walaupun tindakan Tan Sri Speaker (Tan Sri Johari Abdul) nampak seperti keras apabila mengarahkan Radzi untuk keluar dewan tapi saya rasa itu adalah satu perkara yang wajar dilakukan.
"Adalah wajar untuk menggantung mana-mana Ahli Parlimen yang tidak akur dengan peraturan sidang dewan agar perkara sama tidak berulang," katanya kepada Scoop.

Pada 19 September lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah mengarahkan Radzi keluar dari Dewan selepas beliau membidas dan ‘melawan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, setelah tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ketika menggulung perbahasan.
Radzi dikenakan arahan itu selepas gagal menuruti permintaan Johari, supaya beliau duduk dan berhenti mempertikaikan keputusan dibuat Dewan Rakyat yang menolak permohonannya supaya Anwar menarik balik kenyataan dibuat terhadapnya.
Malah, Radzi berlawan kata dan ‘terjerit-jerit’ dengan Ahli Parlimen kerajaan walaupun sudah diarahkan duduk.
Rentetan daripada itu, Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk menggantung tugas Radzi kerana berkelakuan biadab.

Antara yang membuat gesaan berkenaan ialah Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyifatkan sebagai sesuatu yang amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
Dalam pada itu, Jeniri berkata sebagai Ahli Parlimen, mereka sepatutnya sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme paling tinggi kerana sidang Dewan Rakyat disiarkan secara langsung yang boleh ditonton rakyat Malaysia.
Jelasnya, kekuatan seorang Ahli Parlimen itu bukan dinilai berdasarkan kelantangan suara sebaliknya daripada segi hujahan fakta yang bernas dan pada masa sama, mereka perlu berdebat secara profesional, bukan dipengaruhi emosi.
"Sidang Dewan disiarkan secara langsung dan seluruh rakyat Malaysia boleh tengok dan video itu pun sudah tular.
"Diharapkan dengan tindakan tegas (terhadap Ahli Parlimen yang tidak akur dengan peraturan dewan) dapat memberi pengajaran kepada mereka supaya tampil lebih beradab ketika berada dalam sesi persidangan," katanya. - 30 September, 2023
The post Gantung tugas Ahli Parlimen ingkar arahan adalah kaedah pastikan kekal profesional appeared first on Scoop.

