Gara-gara Mulut, Lelaki Maut Ditikam Rakan Sekerja

LocalPolitics
1 Sep 2024 • 1:46 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Gara-Gara Mulut, Lelaki Maut Ditikam Rakan Sekerja

JAKARTA — Angkara mulut, seorang lelaki maut ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan sekerja dalam satu kejadian yang berlaku di pinggir jalan Pamulang, Banten, pada Jumaat lalu, petik Detik.com.

Ketua Polis Tangerang Selatan AKBP Victor Inkiriwang berkata, suspek yang berusia 47 tahun merupakan seorang pengawal keselamatan, manakala mangsa, 50, juga adalah rakan sekerjanya di syarikat yang sama.

Berdasarkan siasatan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua mereka yang membawa kepada pertengkaran mulut.

“Sebelum ini, mereka saling bergaduh, dan mangsa turut mengeluarkan kata-kata kesat ketika bersama rakan-rakan lain sehingga menyinggung perasaan pelaku.

“Akibat berang, suspek nekad untuk membunuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, suspek telah merancang pembunuhan terbabit dan pada hari kejadian dia menunggu mangsa pulang bekerja sebelum bertindak menikam dengan kejam.

“Suspek menunggu mangsa di tepi jalan ketika mangsa hendak pulang ke rumah selepas habis kerja (syif malam).

“Tiba di lokasi kejadian, mangsa telah diserang sebelum ditikam hingga terbaring di atas jalan,” ujarnya lagi.

Mengulas lebih lanjut, Victor memaklumkan suspek telah berjaya ditahan oleh pihak polis.

Lelaki itu kini sedang menjalani rawatan di Hospital Besar Wilayah Tangerang Pamulang selepas menjadi sasaran oleh penduduk setempat yang berang terhadap insiden itu.

Tak jawab teka-teki telur atau ayam, mana yang datang dulu, lelaki maut ditikam rakan sendiri

Sebelum ini, seorang lelaki dilapor maut selepas ditikam oleh rakan sendiri, dalam kejadian yang berlaku di Kabupaten Muna, Sulawesi Tenggara pada bulan lalu.

Menurut portal Detik.com, motif pembunuhan terbabit berpunca daripada soalan teka-teki mengenai ‘ayam atau telur’, mana yang muncul terlebih dahulu.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Muna, La Ode Arsangka berkata suspek sudah pun berjaya diberkas oleh pihaknya.

Sebelum kejadian itu berlaku, suspek bersama mangsa dikatakan sedang melepak bersama sambil minum minuman keras di salah sebuah rumah penduduk di Desa Labasa.

“Mangsa pada awalnya datang untuk membayar hutang ke rumah salah seorang saksi, kemudian diajak minum oleh suspek,” ujarnya.

Dari keterangan saksi di lokasi kejadian, insiden bermula apabila suspek bertanya dua teka-teki kepada mangsa.

Salah satunya adalah teka-teki mengena ayam atau telur, mana satu yang muncul lebih dulu.

“Suspek mengajukan teka-teki kepada mangsa dengan bertanya ‘apa yang lahir dulu, ayam atau telur’. Selepas itu, berlaku perdebatan hangat antara mereka berdua,” katanya lagi.

Sumber: Detik.com