Gara-Gara Potong Daging Ayam, Jari Kelingking Pelakon Shahronizam Terputus

Entertainment
12 Apr 2023 • 11:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Shahronizam kini stabil dan sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh.

Malang tidak berbau buat aktor hebat, Shahronizam Noor yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi Safura Yaacob.

Gara-gara pisaunya tersasar sewaktu sedang memotong daging ayam, aktor yang membintangi filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ arahan Shuhaimi Baba ini terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang, dua hari lepas. 

Insiden malang itu dikatakan berlaku sewaktu Shahronizam dan keluarganya selesai berbuka puasa di rumah dan perkara itu telah disahkan anak tirinya, Daniel Hairi.

“Abah pergi ke dapur untuk memotong daging ayam sebelum diberikan kepada kucing peliharaan kami. Waktu itulah, pisau abah tersasar lalu terkena jari kelengkengnya hingga putus.

“Keadaanya agak parah. Jadi, kami terus  bawa abah ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Daniel yang anak kepada penyanyi Safura Yaacob bersama bekas suami terdahulu, Hairi Kool juga memberitahu, biarpun doktor pakar tiada di situ ketika itu, namun  petugas perubatan pada malam itu berjaya telah menghentikan pendarahan dan membalut luka tersebut.

“Jarinya yang putus dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan dibekukan dan petugas di situ juga memaklumkan, mereka kena  tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari tersebut boleh disambungkan balik atau tidak.

“Keesokan harinya, doktor pakar menjelaskan jari itu tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri telah putus,” ceritanya.

Shahronizam kini stabil dan sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh. - Getaran, 12 April 2023