Garis panduan pengambilan pelajar Tingkatan Enam siap minggu hadapan

24 Jul 2023 • 9:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

NILAI: Garis panduan proses pengambilan pelajar tingkatan enam oleh Pengetua Pusat Tingkatan Enam yang kini diberi kuasa autonomi dijangka dapat disiapkan minggu hadapan, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali (gambar).

Beliau berkata ia bagi memastikan setiap pengetua ini mempunyai panduan secukupnya dalam membuat penilaian terhadap pelajar yang layak, seterusnya menawarkan tempat.

“Sebenarnya perkara ini telah berlaku dulu, kemasukan ke sekolah berasrama penuh pernah kita beri autonomi kepada pengetua, begitu juga kepada kolej vokasional. Tempat yang kita sediakan masih ada lebihan jadi kita boleh menerima mereka masuk.

“Sekarang ini kita utamakan pelajar yang membuat rayuan yang akan masuk menerusi pengetua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional ke-30 Kepimpinan Pendidikan Ke Arah Malaysia Madani, di sini hari ini.

Semalam Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuasa autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam menjalankan proses pengambilan pelajar, berkuat kuasa serta-merta.

Fadhlina berkata langkah tersebut membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian tanpa perlu menunggu tawaran daripada KPM seperti tahun sebelumnya. -Bernama