Garis panduan royalti tertangguh, tiga CMO kemuka semakan kehakiman - Armizan

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 7:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Garis panduan royalti tertangguh, tiga CMO kemuka semakan kehakiman - Armizan
Armizan.

KUALA LUMPUR - Garis panduan bagi memperkukuh ketelusan kutipan dan pengagihan royalti oleh Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) masih belum dapat dikuatkuasakan susulan tindakan semakan kehakiman dan bantahan oleh tiga organisasi berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, tiga CMO terbabit ialah Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM), yang memfailkan tindakan itu pada 16 April 2025.

"Pendengaran kepada semakan kehakiman substantif akan diadakan pada 24 November 2026 nanti.

"KPDN melihat penguatkuasaan garis panduan tersebut amat kritikal bagi memperkukuh ketelusan tadbir urus CMO termasuk dalam aspek pengiraan asas kadar tarif yang munasabah, kutipan pelesenan dan pengagihan royalti.

"Justeru, KPDN akan terus mempertahankan garis panduan ini mengikut jalur dan lunas undang-undang sewajarnya," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan kutipan, pengiraan dan pengagihan royalti oleh CMO dilaksanakan secara telus serta boleh diaudit, termasuk hak pemegang hak cipta untuk menyemak asas pengiraan royalti yang diterima.

Armizan berkata, garis panduan itu termasuk penambahbaikan dalam pengurusan rekod kewangan dan tarif, tatacara pelantikan ejen pelesenan serta hak pengundian dalam mesyuarat agung tahunan.

Katanya, penguatkuasaan peruntukan seksyen 27M ini melalui pembangunan garis panduan, pelbagai siri libat urus telah diadakan pada 2023 hingga 2024.

"Libat urus itu membabitkan para pemegang taruh meliputi KPDN, MyIPO, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), ahli akademik, pengurusan CMO dan perwakilan penggiat seni tempatan," katanya.

Dalam pada itu katanya, usaha memperkukuh akauntabiliti CMO dalam pengurusan dan pengagihan royalti dizahirkan melalui pengenalan kepada seksyen 59C Akta 332 pada tahun 2019.

Menurutnya, peruntukan itu menyediakan saluran penyelesaian pertikaian melalui Tribunal Hak Cipta, yang boleh mendengar dan memutuskan pertikaian berhubung agihan royalti berbangkit antara CMO dengan mana-mana anggotanya, tertakluk pada persetujuan kedua-dua pihak.

"Selain itu, mulai 2022, CMO diwajibkan mengemukakan dokumen pematuhan untuk penelitian dan pertimbangan bagi pembaharuan perisytiharan setiap dua tahun," katanya.

KPDN melalui MyIPO mengawal selia CMO bermula 2012 melalui kerangka perisytiharan di bawah seksyen 27A, Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Peraturan-Peraturan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2012 (Peraturan).

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved