KUALA TERENGGANU – Dokumen kemas kini Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu kini berada pada fasa akhir dan sedang menunggu kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dikuatkuasakan secara rasmi.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dokumen tersebut akan diterbitkan dan dilancarkan dalam masa terdekat sebaik sahaja memperoleh 'lampu hijau' daripada MMKN.
Menurutnya, garis panduan itu dirangka secara komprehensif merangkumi tiga komponen utama iaitu teras acara dan hiburan, jenis-jenis acara, serta aktiviti sampingan termasuk pelancongan dan perayaan orang bukan Islam.
"Semakan semula ini dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira perkembangan semasa melibatkan aktiviti sosial, hiburan, pelancongan dan perniagaan, di samping memastikan keselarasan dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak Islam.
"Langkah ini penting bagi memastikan ia bukan sahaja bersifat dasar, malah berupaya dikuatkuasakan secara berkesan, menyeluruh dan berimpak tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zuraida Mohd Noor (Pas-Ladang) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil menjelaskan kerajaan negeri komited memperkukuh pelaksanaan garis panduan itu menerusi perakuan Jabatan Mufti Negeri Terengganu serta penyelarasan aspek perundangan.
Katanya, ia termasuk keperluan meminda atau menggubal sebarang enakmen dan peraturan berkaitan agar selari dengan garis panduan yang ditetapkan.
"Garis panduan ini dibangunkan bagi membantu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan penguatkuasaan dalam merancang serta mengawal aktiviti supaya sentiasa mematuhi prinsip syariah," jelasnya.
Tambah beliau, beberapa siri bengkel libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pakar telah diadakan bagi memastikan dokumen tersebut bersifat praktikal dan inklusif.
Menjawab soalan tambahan mengenai cadangan memperkenalkan garis panduan itu di peringkat komuniti seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Muhammad Khalil berkata pihaknya menyambut baik cadangan tersebut untuk tindakan susulan.






