
CIRQA Smart Band merupakan jawapan Garmin terhadap Whoop Band dan Google Fitbit Air. Ia direka khusus untuk memberikan keselesaan sepanjang hari. Penampilannya kelihatan lebih ringkas dan bergaya malah berbeza daripada jam tangan pintar biasa yang cenderung berpenampilan lasak.

Bagi pengguna yang berminat, CIRQA kini telah disenaraikan di laman web rasmi Garmin Malaysia pada harga RM899 seutas. Peranti boleh pakai ini ditawarkan dalam saiz S hingga XL serta hadir dengan pilihan warna berbeza termasuk Black, French Gray, Mauve dan Captain Blue, sesuai untuk aktiviti luar. Untuk saiz S-M, ia sesuai dipakai pada pergelangan tangan dengan lilitan antara 120 hingga 200 mm. Sementara itu, bagi saiz L-XL, ia sesuai untuk lilitan pergelangan tangan antara 145 hingga 240 mm.

Dari segi spesifikasi, CIRQA dilengkapi dengan fungsi mengesan kadar denyutan jantung, tahap stres, suhu kulit, tenaga tubuh, penjejakan kitaran haid dan kehamilan, penjejakan tidur serta corak pernafasan. Ia turut menyokong pengesanan lebih daripada 80 jenis aktiviti secara automatik. Bagaimanapun, kekurangan berbanding jam tangan pintar ialah CIRQA tidak hadir dengan GPS terbina.

