Garmin Instinct 2X Solar: Maklumat penjualannya di Malaysia

Digital
25 May 2023 • 4:47 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Garmin telah melancarkan siri Instinct untuk menyediakan jam kecergasan sangat tahan lasak dan bateri sangat panjang. Siri Instinct 2 telah dilancar di Malaysia tahun lepas dan terkini, Garmin membawakan ahli baru iaitu Instinct 2X Solar.

Instinct 2X Solar membawakan semua kehebatan yang ada di dalam siri Instinct 2, dengan muka jam yang lebih besar serta kaca yang menyerap tenaga cahaya matahari sebagai standard.

Harga dan ketersedian

Mereka yang berminat untuk memiliki jam ini, boleh mula membelinya sekarang. Ia telah dijual di Malaysia dalam dua varian iaitu:

  • Garmin Instinct 2X Solar – RM2,220
  • Garmin Instinct 2X Solar Tactical Edition- RM2,470

image is not available

Jam ini boleh dibeli di stor rasmi Garmin di Shopee dan Lazada, serta di e-Store AECO, kedai jenama Garmin dan pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia.

Terdapat tiga warna disediakan untuk Instinct 2X Solar iaitu hitam, merah dan putih. Manakala bagi Tactical Edition, ada dua pilihan warna iaitu coklat dan hitam.

image is not available

Spesifikasi Instinct 2X Solar

Badan tahan lasak Instinct 2X Solar diperbuat daripada polimer yang diperteguh dengan fiber. Ia memiliki skrin monokrom 50mm dan dilapisi kaca Power Glass yang sangat teguh dan kalis calar.

image is not available

Kaca ini mampu menyerap cahaya matahari dan memberi tenaga, sehingga 50% lebih tenaga berbanding model Instinct 2 Solar biasa. Malah, ia juga menjadikan Instinct 2X Solar bertenaga selama-lamanya, tanpa perlu dicas semula langsung. Ketahanan jam ini diiktiraf menuruti standard ketenteraan MIL-STD-810, serta masuk ke dalam air sehingga 10ATM.

Salah satu naik taraf penting pada Instinct 2X Solar adalah lampu suluh LED terbina di dalam. Tahap kecerahannya boleh diubah mengikut empat tahap, serta warna lampu antara putih dan merah. Malah, ia juga boleh dijadikan lampu bantuan semasa berlari di waktu malam agar boleh dilihat orang ramai di persekitaran.

image is not available

Garmin masih mengekalkan sambungan pengecas khas Garmin untuk memberi tenaga cara biasa kepada Instinct 2X Solar. Tanpa bantuan cahaya matahari, ia boleh hidup sehingga 40 jam dalam mod jam pintar, sehingga 60 jam GPS berterusan, atau 100 hari dalam mod jimat tenaga. Dengan bantuan solar, ia boleh hidup selama-lamanya dalam mod jam pintar atau sehingga 145 jam GPS berterusan.

Selain ini, Instinct 2X Solar menyediakan pelbagai sensor jam pintar untuk kegunaan harian dan aktiviti kecergasan. Antaranya terdapat sistem penjejak multisatelit (GPS, GLONASS, GALILEO), sensor ABC (altimeter, barometer, compass), giroskop, termometer, pulse OX, akselorometer dan banyak lagi. Ia juga boleh memantau waktu tidur dan memberi notifikasi daripada peranti. Malah, pengguna ada pilihan menukar muka jam menerusi perisian Garmin Connect IQ.

Perbezaan Tactical Edition

image is not available

Untuk penggunaan khas, Tactical Edition menyediakan semua yang terdapat dalam versi biasa dengan fungsi tambahan. Antaranya fungsi Jumpmaster, dwi-lokasi GPS, sokongan Night-Vision serta Stealth Mode yang mematikan semua komunikasi dan perkongsian GPS.

Selain itu, Tactical Edition menampilkan lampu suluh LED dalam warna putih atau hijau. Warna hijau menyediakan cahaya yang tidak mengganggu untuk penggunaan Night-Vision.

image is not available

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk siri Garmin Instinct 2.

Bacaan Berkaitan