
Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido menuntut reaksi positif daripada anak buahnya apabila skuad Badak menerima kunjungan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas petang ini (Sabtu).
Ia susulan keputusan mengecewakan pasukan ketika menentang pasukan tercorot Kelantan Red Warriors FC dalam aksi di tempat lawan Sabtu lalu.
Menurutnya, seluruh skuad tidak berpuas hati dengan persembahan tersebut dan kini memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menampilkan aksi jauh lebih baik yang mencerminkan kemampuan sebenar mereka hari ini.
Beliau mengakui faktor seperti keadaan cuaca dan kualiti padang yang kurang memuaskan menjejaskan prestasi pasukan dalam tiga perlawanan terakhir.
Beliau berharap usaha persiapan bagi memperbaiki keadaan padang Stadium Likas akan memberikan kesan positif kali ini.
“Perlawanan menentang Selangor FC ini merupakan peluang penting untuk kami memperbaiki kerjasama berpasukan dan mentaliti dalam usaha memburu kemenangan,” katanya.
Beliau turut mengakui kekuatan Selangor FC khususnya dari segi organisasi pertahanan dan keupayaan melancarkan serangan balas berbahaya.
Berdasarkan pertemuan terdahulu, beliau menjangkakan skuad Gergasi Merah akan menggunakan pendekatan lebih berhati-hati dengan mengutamakan keberkesanan serangan berbanding penguasaan bola.
Beliau turut menyentuh cabaran berterusan membabitkan kecederaan dalam skuad yang menyebabkan perubahan kerap dilakukan terhadap kesebelasan utama.
Bagaimanapun, beliau percaya keupayaan mengekalkan mentaliti yang kuat sepanjang perlawanan amat penting bagi membolehkan Sabah FC beraksi pada tahap terbaik serta menghadiahkan keputusan positif kepada penyokong setia mereka.
Kedua-dua pasukan kali terakhir bertemu pada September lalu dalam aksi sengit dua perlawanan pusingan 16 Piala FA Malaysia 2026-27.
Selepas terikat seri 2-2 pada aksi pertama Selangor FC menewaskan Sabah FC 2-1 dalam perlawanan timbal balik di gelanggang sendiri untuk mara dengan agregat 4-3.
Dalam kedudukan liga semasa, Sabah FC berada di tangga kelima dengan 10 mata manakala Selangor FC menduduki tempat kedua dengan 18 mata sekali gus memberikan peluang kepada Gergasi Merah untuk memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di puncak liga sekiranya meraih kemenangan.




