Sekolah di Melaka akan ditutup jika jerebu makin teruk

15 Sep 2019 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

MELAKA - Semua sekolah di negeri ini akan ditutup esok sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini melebihi 200.

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, ia selaras dengan pelan tindakan menghadapi bencana jerebu dan mesyuarat bencana negeri Melaka yang diadakan kelmarin.

"Bacaan IPU di negeri Melaka telah mencecah lebih 200, bagaimanapun arahan penutupan sekolah pada Selasa ini bergantung pada IPU esok," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu di Seremban, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, setakat semalam belum ada keperluan untuk sekolah di negeri ini ditutup sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

"Kita sudah meminta pihak pengurusan sekolah untuk tidak menggalakkan sebarang aktiviti di luar sekolah. Bagi kawasan yang melebihi bacaan IPU 150 pula tidak dibenarkan sama sekali sebarang aktiviti di luar bilik darjah," katanya di sini semalam.

Manakala di Kota Kinabalu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob juga berkata, sekolah di negeri berkenaan akan ditutup sekiranya jerebu semakin teruk.

Beliau berkata, pihaknya buat masa ini masih belum mendapat maklumat berhubung penutupan mana-mana sekolah di daerah dilanda jerebu namun sesi persekolahan akan ditangguhkan sekiranya ada keperluan berbuat demikian.- Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved