
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pensyarah berjaya menuntut keadilan selepas gelang emas belian yang dibeli di salah sebuah cawangan Habib Jewels di ibu kota, mengalami kerosakan berulang.
Profesor Dr Samihah Khalil dari Perlis berjaya mendapat pampasan setelah beliau merujuk kes berkenaan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Perlis selepas merasakan haknya sebagai pengguna terjejas.
Menurut Samihah, beliau membeli gelang berkenaan yang cantik, berkilau dan diyakini berkualiti tinggi untuk dipakai sempena sambutan Hari Raya daripada Habib Jewels.
“Selepas hanya beberapa kali dipakai, gelang emas berlian tersebut patah dan ia kemudiannya dihantar untuk dibaik namun dikenakan dikenakan caj pembaikan. Tidak lama selepas dibaiki dan digunakan semula, gelang yang sama patah buat kali kedua,’’ katanya yang disiarkan www.market-eagles.com.
Berikutan gelang itu patah kali kedua, Samihah terpaksa membayar caj pembaikan dan selepas cubaannya berbincang dengan wakil Habib Jewels gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan, beliau mengambil keputusan membawa perkara itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kangar.
“Dengan bantuan nasihat daripada seorang rakan saya seorang peguam di negeri Sabah, Datuk Seri K. Rakhbir Singh, saya mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan tersebut di pejabat TTPM di Kangar,” kata beliau.

Selepas kes didengar, Tribunal Tuntutan Pengguna Perlis telah membuat keputusan seperti berikut di mana Habib Jewels diarahkan membuat bayaran balik penuh harga gelang emas berlian berkenaan, bayaran penuh caj pembaikan ikembalikan kepada pengguna dan membayar pampasan untuk kos perjalanan Samihah.
Samihah menyatakan kepuasan terhadap keputusan tribunal tersebut kerana berjaya memperoleh semula bayaran penuh, kos pembaikan serta pampasan yang sewajarnya.
Tuntutan itu, katanya, diterima kerana ia adalah munasabah kerana barang kemas dibeli untuk dipakai dan tahan lama, bukannya untuk dibaiki berulang kali.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan saya, Datuk Seri Rakhbir Singh, yang telah memberi nasihat sejak peringkat awal untuk memastikan borang tuntutan diisi dengan sepenuhnya untuk memudahkan Tribunal membuat keputusan.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana telah menyediakan kemudahan Tribunal Tuntutan Pengguna di negeri Perlis. Kos untuk memfailkan borang tuntutan hanyalah RM5 sahaja dan bayaran pos secara berdaftar kepada syarikat penjual,’’ katanya.
Berdasarkan pengalaman beliau, Samihah menasihatkan pengguna supaya tidak berdiam diri apabila hak mereka terjejas dan menggunakan saluran yang disediakan supaya keadilan dapat ditegakkan. - 1 Mei, 2026
The post Gelang berlian patah, bekas pensyarah dapat pampasan menerusi Tribunal Pengguna appeared first on Scoop.
