Gelapkan Dana Awam, Setiausaha NGO Terbabit Bantu Gaza Direman 3 Hari

LocalPolitics
5 Feb 2026 • 8:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Selepas pendakwaan ke atas bebeapa individu berprofil tinggi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus agresif melaksanakan misi memerangi gejala rasuah.

Terbaru, seorang setiausaha sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman suruhanjaya berkenaan hari ini, kerana disyaki terbabit menyalahgunakan kuasa untuk menggelapkan dana berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

Sumber SPRM memberitahu, permohonan reman ke atas suspek diluluskan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut beliau, suspek direman tiga hari sehingga 7 Februari nanti.

“Suspek yang berusia 40-an, telah ditangkap kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

"Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 dan 2024,” katanya.

Jelas sumber, suspek dipercayai telah meluluskan dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua syarikat lain untuk tujuan pelaburan.

“Ia melibatkan individu dalam pengurusan persatuan itu yang dipercayai mempunyai kepentingan," katanya.

Getaran difahamkan, siasatan kini tertumpu kepada elemen penyelewengan dana awam, memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah organisasi yang menerima sumbangan daripada orang ramai untuk misi kemanusiaan di Gaza.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi, mengesahkan penangkapan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya. – Getaran, 5 Februari 2026