
PENGURNIAAN Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, merupakan satu isyarat yang menarik dan luar biasa dalam sejarah kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lazimnya, darjah kebesaran ini hanya diberikan kepada Ketua Polis Negara sebagai pegawai paling kanan dalam pasukan. Maka, apabila ia dikurniakan kepada seorang Timbalan Ketua Polis Negara, ia menimbulkan perhatian ramai dan membuka ruang spekulasi berhubung hala tuju kepimpinan tertinggi PDRM.
Namun, harus difahami bahawa pengurniaan anugerah darjah kebesaran adalah hak dan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong. Baginda berkuasa untuk menzahirkan pengiktirafan kepada mana-mana individu yang dirasakan layak berdasarkan jasa dan sumbangan luar biasa kepada negara.
Ayob Khan bukanlah nama asing dalam arena keselamatan negara. Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam PDRM, beliau dikenali sebagai pegawai berintegriti tinggi, tegas dan berani.
Ketika memimpin Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, beliau mengetuai operasi-operasi penting menggagalkan ancaman militan seperti ISIS dan Abu Sayyaf.
Puluhan individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengganas ditahan di bawah seliaan beliau, sekali gus membuktikan kepakaran dan keupayaannya dalam menangani isu keselamatan berprofil tinggi.
Pada tahun 2020, Ayob Khan dilantik sebagai Ketua Polis Johor dan menampilkan pendekatan kepimpinan yang berani dan berkesan dalam membanteras sindiket jenayah terancang serta kegiatan dadah.
Ketegasan dan keberanian beliau mendapat pujian ramai, malah ketika itu beliau dilihat sebagai antara tokoh yang wajar diketengahkan ke jawatan lebih tinggi dalam PDRM.
Seterusnya, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebelum menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Kelayakan ini akhirnya membawa beliau ke jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023.
Menariknya, gelaran Tan Sri yang diterima Ayob Khan hadir ketika tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bakal berakhir pada 22 Jun ini.
Razarudin yang sepatutnya bersara pada 15 Mac 2023, sebelum ini telah diberi lanjutan kontrak selama dua tahun. Setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi sama ada kontrak tersebut akan disambung atau sebaliknya.
Justeru, penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Ayob Khan bukan sekadar penghormatan biasa. Ia dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan dan isyarat kepada peranan penting yang bakal digalas beliau, apatah lagi dalam suasana di mana kedudukan Ketua Polis Negara akan melalui fasa transisi tidak lama lagi.
Ayob Khan membalas anugerah tersebut dengan penuh rendah hati, menyifatkannya sebagai penghargaan kepada seluruh warga PDRM. Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi demi menjaga keselamatan negara.

