Gelombang Protes Baharu Gegar Iran, Rakyat Desak Kejatuhan Pemerintahan Ulama

WorldPolitics
10 Jan 2026 • 6:31 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

TEHRAN – Rakyat Iran sekali lagi turun ke jalanan dalam gelombang protes baharu bagi meneruskan gerakan terbesar menentang kenaikan kos sara hidup dalam tempoh lebih tiga tahun.

Situasi tegang itu berlaku ketika pihak berkuasa terus mengekalkan sekatan internet sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, yang setakat ini telah mengorbankan puluhan nyawa.

Protes yang kini memasuki hari ke-13 itu bukan sahaja tertumpu kepada isu ekonomi, malah berkembang menjadi tuntutan supaya sistem pemerintahan ulama yang mentadbir Iran sejak Revolusi Islam 1979 ditumbangkan. Sebelum itu, negara berkenaan diperintah oleh Raja pro-Barat yang dikenali sebagai Shah Iran.

Menurut rakaman video yang disahkan oleh Agensi Berita Perancis (AFP), penduduk di daerah Sadatabad, Tehran dilihat memukul periuk dan melaungkan slogan antikerajaan termasuk “Matilah Khamenei”, merujuk kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Kenderaan yang melalui kawasan itu turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Rakaman dan imej lain yang tersebar di media sosial menunjukkan protes serupa turut berlaku di beberapa kawasan lain di Tehran. Sementara itu, saluran televisyen berbahasa Parsi yang berpangkalan di luar Iran melaporkan penyertaan besar-besaran dalam protes baharu di bandar Mashhad, Tabriz dan Qom.

Perkembangan ini menyusuli demonstrasi besar-besaran sehari sebelumnya dan disifatkan sebagai yang terbesar sejak gelombang protes 2022–2023, yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan selepas ditahan atas dakwaan melanggar peraturan pemakaian hijab.

Dalam pada itu, organisasi pemantau internet, NetBlocks memaklumkan bahawa pihak berkuasa Iran telah menutup perkhidmatan internet di seluruh negara sepanjang 24 jam lalu. Tindakan tersebut didakwa melanggar hak rakyat dan bertujuan menyembunyikan keganasan rejim terhadap penunjuk perasaan.

Pertubuhan Amnesty International turut mengecam penutupan internet secara menyeluruh itu, sambil menyatakan ia dilakukan bagi menyembunyikan tahap sebenar pelanggaran hak asasi manusia yang serius serta jenayah di bawah undang-undang antarabangsa, selain bertujuan mematahkan gerakan protes.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway, sekurang-kurangnya 51 penunjuk perasaan, termasuk sembilan kanak-kanak, dilaporkan terbunuh akibat tindakan pasukan keselamatan, manakala ratusan lagi cedera. Pertubuhan itu turut mengemas kini angka kematian kepada sekurang-kurangnya 45 orang setakat ini.

Dalam kenyataan pertamanya mengenai protes yang semakin memuncak sejak 3 Januari lalu, Khamenei menyifatkan penunjuk perasaan sebagai perosak yang melakukan tindakan sabotaj.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kerajaan, Khamenei turut mendakwa tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berlumuran darah lebih seribu rakyat Iran, merujuk kepada konflik Israel pada Jun tahun lalu terhadap Republik Islam Iran yang turut disertai oleh Amerika Syarikat. – The Malaysian Update

The post Gelombang Protes Baharu Gegar Iran, Rakyat Desak Kejatuhan Pemerintahan Ulama appeared first on The Malaysian Update.