Gelombang tekanan pengangkutan udara

Business & Finance
27 Mar 2026 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sektor penerbangan global dilapor mengenakan kadar tambang lebih tinggi, termasuk membatalkan dan menjadualkan semula operasi susulan harga bahan api jet melonjak mendadak disebabkan perang Iran-Israel.
image is not available
Konflik berterusan antara Iran dan Israel mencetuskan gelombang tekanan baharu kepada pengguna pesawat komersial.

KONFLIK berterusan antara Iran dan Israel mencetuskan gelombang tekanan baharu kepada pengguna pengangkutan udara khususnya bagi industri pelancongan apabila sektor penerbangan global dilapor mengenakan kadar tambang lebih tinggi, termasuk membatalkan dan menjadualkan semula operasi susulan harga bahan api jet melonjak mendadak.

Lonjakan tersebut berpunca daripada gangguan bekalan minyak global menyebabkan harga bahan api jet meningkat secara drastik dalam tempoh singkat, malah dilaporkan melonjak lebih 50 peratus dalam beberapa minggu sahaja.

Kesan rantaian paling ketara adalah kepada kos operasi syarikat penerbangan.

Ini kerana, bahan api lazimnya menyumbang antara 20 hingga 40 peratus daripada kos operasi, menjadikan sebarang kenaikan harga memberi impak besar terhadap keuntungan.

Dalam skala lebih luas, konflik tersebut turut menjejaskan operasi penerbangan global apabila banyak ruang udara di Asia Barat ditutup atas faktor keselamatan.

Keadaan ini memaksa pesawat mengambil laluan lebih panjang, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api dan kos perjalanan.

Akibatnya, syarikat penerbangan berpotensi memindahkan kos operasi kepada pengguna dengan menetapkan kadar harga tiket yang berlipat kali ganda, termasuk mengambil langkah membatalkan dan mengurangkan jadual perjalanan kerana enggan menanggung kos bahan api yang tinggi.

Antara kumpulan pengguna yang menerima kesan secara tidak langsung adalah jemaah umrah yang biasanya telah membuat perancangan perjalanan lebih awal.

Pengasas Umrah4ladies By MK Haramain Travel & Tours, Nursyafiqah Zamani tidak menolak perkara tersebut, bahkan berdepan pembatalan penerbangan Emirates Airlines saat akhir bagi kumpulan jemaah yang berangkat awal Syawal.

**media[3473147]**

Susulan itu katanya, syarikat memberi dua pilihan kepada jemaah sama ada untuk menukar tarikh penerbangan melalui Malaysia Airlines atau tunda ke musim depan iaitu bermula Jun.

"Setakat ni kesan pembatalan ni ganggu pusingan duit syarikat sebab kita dah bayar Emirates, lepas tu kena bayar Malaysia airlines pula sementara nak tunggu Emirates refund.

"Kemudian syarikat juga perlu tanggung sedikit kos untuk penginapan sebab dah buat tempahan hotel pada tarikh tu. Tiada wang tambahan daripada jemaah. Semuanya kami uruskan," katanya kepada Sinar Bisnes.

Tambah Nursyafiqah, harga tiket penerbangan untuk musim depan masih pada kadar sama kerana dibeli lebih awal, namun tidak menolak untuk bersedia berdepan kenaikan harga sekiranya perang masih berterusan.

Seorang lagi pemilik agensi pelancongan Al Asywaq Travel & Tour Sdn Bhd, Aiza Syafinaz Shahak juga mengakui berdepan tindakan pembatalan dan penjadualan semula penerbangan khususnya bagi perjalanan transit.

Katanya, banyak risiko kesan daripada perang yang sedang berlaku perlu ditanggung oleh agensi pelancongan kerana ia melibatkan isu global.

"Sebenarnya untuk pelanggan yang pergi dengan agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC risiko untuk tanggung kerugian lebih kecil sebab masih boleh jadualkan semula perjalanan atau buat refund berbanding yang buat tempahan sendiri mungkin terpaksa 'hangus'.

"Üntuk penerbangan yang dibatalkan memang boleh dapatkan duit balik tapi ambil masa beberapa bulan. Jadi (cabarannya) dari sudut kepercayaan pelanggan atau jemaah. Sebab tu agensi kena bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Nur Afifah Abd Rahim, 30 berkata, dia terpaksa mengeluarkan wang tambahan yang harganya lebih sekali ganda untuk membeli tiket baharu ke Tokyo, Jepun disebabkan penerbangan yang ditempah lebih awal untuk perjalanan transit telah dibatalkan.

Katanya setakat ni dia belum menerima sebarang perkembangan lanjut daripada pihak syarikat penerbangan berkenaan namun dimaklumkan pembayaran balik duit tiket berharga RM2,100 akan dibuat dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

"Sebenarnya memang dah lama teringin nak beraya di perantauan. Jadi hanya tahun ni saja peluang untuk saya raya di perantauan. Disebabkan tiket balik saya masih tak batal, jadi saya tetap rasa ada peluang untuk saya pergi.

"Untuk persediaan di sana, dari segi duit saya memang tukar agak banyak daripada biasa saya ke luar negara. Sediakan tunai lebih dan juga kad kredit untuk kecemasan selain beli insuran," katanya.