
KOTA KINABALU – Semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Sabah segera melaksanakan rondaan serta pemantauan di kawasan masing-masing susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang menggegarkan perairan negeri itu pada jam 12.57 tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut.
Menurut kenyataan itu, rondaan dijalankan sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan orang awam dan memantau sebarang kemungkinan insiden susulan.
Di Kota Kinabalu, anggota BBP melakukan pemantauan di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Sementara itu di Kudat, rondaan tertumpu di kawasan perumahan PPR Taman Ehsan serta sekitar pesisir Pantai Bak-Bak. Keadaan di pekan Kudat dilaporkan normal dan terkawal.
BBP Putatan pula membuat pemantauan di sekitar Pantai Lok Kawi dan Taman Teluk Villa, manakala pasukan BBP Kota Belud menjalankan rondaan di Pantai Kampung Buah Pandai sebagai langkah berjaga-jaga.
“Setakat ini tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima dan keadaan di semua lokasi yang dipantau berada dalam keadaan terkawal,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Gegaran Turut Dirasai Beberapa Kawasan
Terdahulu, gempa bumi bermagnitud 6.8 dilaporkan berlaku pada kedalaman 678 kilometer dengan lokasi kira-kira 49 kilometer barat Kudat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan gempa tersebut berpusat di koordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur.
Menurut MetMalaysia, gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah serta sebahagian Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan dan keadaan dipantau secara berterusan oleh pihak berkuasa.
Dalam masa sama, orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan oleh MetMalaysia bagi membantu pengumpulan data.
Sejak tengah malam tadi, media sosial turut dibanjiri perkongsian pengguna yang mendakwa merasai gegaran berkenaan, namun setakat ini tiada insiden besar dilaporkan.
Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi. – The Malaysian Update
The post Gempa 6.8 Magnitud Gegar Perairan Sabah, Bomba Buat Rondaan — Tiada Laporan Kerosakan Setakat Ini appeared first on The Malaysian Update.

