Gempa Bumi Bermagnitud 6.2 Landa Utara Maluku, Gegaran Dirasai Hingga Manado

14 Sep 2026 • 9:42 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Gempa Bumi Bermagnitud 6.2 Landa Utara Maluku, Gegaran Dirasai Hingga Manado

JAKARTA, 14 Sept (Bernama) -- Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.2 melanda perairan Utara Maluku di timur Indonesia pada Isnin malam, dengan gegaran dirasai di beberapa bahagian wilayah itu hingga ke Manado di Sulawesi Utara.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 5.58 petang waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak kira-kira 42 kilometer di timur laut Pulau Doi pada kedalaman 145 kilometer.

Menurut data yang dikeluarkan di laman sesawangnya, gegaran dirasai pada keamatan sederhana di Morotai dan lebih ringan di Halmahera Utara serta Manado, ibu negeri Sulawesi Utara.

Agensi itu mengesahkan tiada ancaman tsunami dan menasihati orang ramai supaya kekal berwaspada terhadap kemungkinan berlaku kejutan lanjur.

Gempa di Utara Maluku itu menyusul selepas dua gempa bumi terdahulu di luar pantai selatan Jawa pada Isnin, termasuk gempa bermagnitud 5.5 pada 4.27 petang kira-kira 191 kilometer di barat daya Bayah di Wilayah Banten, barat daya Jakarta.

Pengarah Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG Wijayanto berkata gempa di Banten pada kedalaman 31 kilometer itu merupakan gempa bumi cetek yang berpunca daripada subduksi plat tektonik.

“Gegaran dirasai oleh beberapa penduduk di Pandeglang, dengan objek ringan yang digantung kelihatan bergoyang,” katanya sambil menambah tiada gempa susulan dikesan setakat 4.50 petang dan kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami.

Terdahulu pada 8.42 pagi, gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter melanda perairan kira-kira 160 kilometer di tenggara Kabupaten Malang di Jawa Timur pada kedalaman 39 kilometer, dengan gegaran dirasai di sebahagian Malang dan Kabupaten Jember.

Baca juga:

Wijayanto berkata gempa bumi di Malang itu juga merupakan gempa bumi cetek disebabkan oleh subduksi plat tektonik tetapi mempunyai mekanisme sesar normal, manakala BMKG mengesahkan ia tidak membawa ancaman tsunami.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved