SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang berada di Jakarta dinasihatkan untuk kekal bertenang dan mengikuti maklumat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan susulan gempa bumi magnitud 6.5 yang turut dirasai di ibu negara Indonesia serta beberapa kawasan di Jawa dan Sumatera.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan Badan Metereologi, Klimatologi, dan Geofisika Republik Indonesia telah merekodkan gegaran tersebut pada jam 4.23 pagi waktu tempatan, berpusat kira-kira 6 kilometer di timur Kepulauan Seribu.
"Gegaran tersebut berlaku pada kedalaman 376 kilometer dan tiada ancaman tsunami.
"Setakat jam 12 tengah hari, belum ada laporan kemalangan atau kerosakan akibat gempa bumi berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pihak kedutaan turut menasihatkan pelawat warganegara Malaysia yang akan berlepas ke luar negara untuk merancang perjalanan sewajarnya.
"Perkara itu termasuk menyediakan dana tambahan untuk keperluan diri, selain mendapatkan insurans sebelum berlepas dan meneliti skop perlindungannya," tambah kenyataan itu.
Bagi sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian tetap +62 21 522 4947 atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian +62 813 8081 3036.


