
PETALING JAYA – Rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Pantai Barat, Semenanjung turut merasai gegaran susulan kejadian gempa bumi kuat di Utara Sumatera, Indonesia dengan magnitud 6.4 petang tadi.
Pengalaman itu dikongsikan mereka menerusi ruangan komen pada Facebook Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) selepas pihak berkenaan memaklumkan kejadian gempa bumi di negara jiran itu.
“Langkawi rasa gegaran juga, sliding door (pintu gelangsar) bergetar,” komen Hulubalang Kedah.
“Hah, inilah yang saya rasa tadi. Goyang-goyang sikit. Saya yakin ada gempa bumi sebab dulu masa 24 Disember 2004, pernah rasa benda yang sama. Parit Buntar, Perak,” komen Mior Muhammad Hafiz.
“Setia alam, tengah duduk petang-petang depan tv (televisyen) pun rasa. Aku ingat badan vertigo ke apa,” kata Ashraf Mohamad.
“Patutlah rasa gegar dekat Klang,” kata Sharul Metallers II.
“Sampai Kuantan bergegar tadi,” komen Fudael Rosli.
MetMalaysia melaporkan, gempa bumi kuat berlaku di Utara Sumatera, Indonesia dengan magnitud 6.4 pada pukul 6.54 petang tadi.
Gempa bumi berkenaan berlamu di koordinat 2.9° Utara dan 98.8° Timur serta jarak 37 kilometer (km) Barat Daya dari Permatang Siantar dengan kedalaman 154 km.
Gegaran dirasai di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun tiada ancaman tsunami kepada negara. – KOSMO! ONLINE
The post Gempa bumi Indonesia: Rasa gegaran, sliding door bergetar appeared first on Kosmo Digital.





