
Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan
Gempa Bumi Kuat Landa Utara Sumatera, Gegaran Turut Dirasai Di Malaysia. Utara Sumatera, Indonesia digegarkan oleh gempa bumi berkuasa 6.2 magnitud pada pukul 10.59 malam tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Muhammad Helmi Abdullah, Ketua Pengarah MetMalaysia menyatakan bahawa gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 86 kilometer dan berjarak 84 kilometer barat daya Padang Sidempuan, Indonesia.

Penghuni sebuah flat di Jalan Pudu, bergegas meninggalkan kediaman masing-masing
Beliau menyatakan bahawa getaran mungkin dirasai di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak menghadapi ancaman tsunami.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur juga telah menerima panggilan mengenai gegaran ini daripada penduduk Pangsapuri Pudu Impian 1 di Jalan Cheras.

Rata-rata netizen di sosial media turut kongsi menerima notifikasi menerima gegaran di Malaysia
Menurut jurucakap JBPM KL, sebuah pasukan anggota bersama sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
Semakan di laman sosial Twitter menunjukkan bahawa pengguna dari pelbagai lokasi turut merasai gegaran dan terdapat tangkapan skrin amaran awal gempa bumi daripada sistem Android.



