Gempa Bumi Kumamoto: 13 Maut, Operasi Mencari Mangsa Giat Dijalankan

29 Jul 2026 • 1:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Gempa Bumi Kumamoto: 13 Maut, Operasi Mencari Mangsa Giat Dijalankan

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 13 orang disahkan maut selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 menggegarkan Wilayah Kumamoto di barat daya Jepun pada Selasa, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat berskala besar, pemindahan penduduk dan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya gempa susulan.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi memaklumkan, tujuh individu mengalami kecederaan parah manakala 29 lagi cedera ringan. 

Menurut beliau, pihak berkuasa masih menjalankan penilaian bagi menentukan tahap sebenar kemusnahan yang berlaku.

Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara, berkata, ribuan penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kawasan terjejas.

“Setakat jam 7 pagi ini, seramai 9,186 orang telah mendapatkan perlindungan di 506 pusat pemindahan yang dibuka di lima wilayah, termasuk Kumamoto dan Fukuoka,” katanya.

Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam bagi mencari mangsa yang masih terperangkap susulan letupan di pusat beli-belah Aeon Mall Kumamoto yang berlaku ketika gempa melanda.

Pakar seismologi percaya, gempa bumi terbaharu itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan aktiviti sesar yang masih aktif selepas dua gempa besar melanda wilayah sama pada 2016.

Pusat gempa kali ini terletak berhampiran lokasi gempa bermagnitud 6.5 dan 7.3 yang masing-masing berlaku pada 14 dan 16 April 2016.

Menurut Kyodo News, ketiga-tiga gempa tersebut mencatatkan intensiti maksimum tujuh pada skala intensiti seismik Jepun di beberapa kawasan di Kumamoto. 

Bencana pada 2016 meragut lebih 270 nyawa selain menyebabkan kemusnahan besar di seluruh wilayah berkenaan.

Penyelidik turut memaklumkan beberapa zon sesar aktif, termasuk sistem sesar Hinagu dan Futagawa yang dikenal pasti sebagai punca gempa 2016, merentasi kawasan tengah Pulau Kyushu. - Getaran, 29 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved