Gempa bumi Myanmar: Malaysia hantar dua pasukan penilaian Nadma

29 Mar 2025 • 10:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan penyelamat di kawasan tapak runtuhan selepas sebuah bangunan runtuh di Bangkok berikutan gempa bumi pada Jumaat. Foto AFP

image is not available
Beberapa bangunan di Myanmar runtuh selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat bermagnitud 7.7.

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menghantar pasukan penilaian ke Yangon, Myanmar pada Sabtu bagi memberi bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan.

Wisma Putra memaklumkan, pasukan yang terdiri daripada 10 anggota itu bertindak untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana yang sedang dilaksanakan.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Malaysia terhadap solidariti serantau dan respons kemanusiaan.

"Berdasarkan dapatan pasukan penilaian awal ini, satu lagi pasukan Nadma melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas pada Ahad yang akan memberi tumpuan kepada kawasan dikenal pasti dalam penilaian awal supaya bantuan disalurkan secara tepat, relevan dan responsif terhadap keadaan semasa.

"Keputusan menghulurkan bantuan ini diambil susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China yang telah mengorbankan banyak nyawa serta kemusnahan besar," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu Wisma Putra menjelaskan, pihaknya sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik untuk misi berkenaan.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon juga akan memberi sokongan kepada operasi pasukan tersebut semasa di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.

"Malaysia kekal teguh dan komited terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh ASEAN.

"Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini," menurut kenyataan itu lagi.