Gempa Bumi Myanmar: Malaysia Salur Bantuan RM10 Juta

30 Mar 2025 • 4:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gempa bumi di Myanmar setakat ini sudah meragut lebih 1,000 nyawa - Gambar X

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta untuk rakyat Myanmar yang terkesan dengan bencana gempa bumi melanda negara itu, dua hari lalu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah diarahkan mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar minggu hadapan. 

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Menurut beliau, misi tersebut bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan.

“Ini termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini.

“Semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini,” katanya di sini hari ini.

Jelas Perdana Menteri, keutamaan ASEAN dalam memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh.

“Dalam semangat perpaduan ASEAN, Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN bagi menyelaras bantuan diperlukan oleh Myanmar, dan memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak yang bermakna kepada mangsa-mangsa yang memerlukan,” katanya. 

image is not available
Mohamad Hasan - Gambar fail

Tegas beliau, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama dan solidariti.

Mandalay digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.7 Jumaat lalu dan gegarannya turut dirasai di utara Thailand hingga ke Bangkok, menyebabkan penduduk panik dan bergegas keluar dari bangunan.

Bencana itu turut menyebabkan sebuah bangunan setinggi 30 tingkat yang masih dalam pembinaan runtuh di bahagian utara Bangkok. 

Sekurang-kurangnya 43 pekerja dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tersebut. 

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Xinhua memetik Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara semalam melaporkan, tragedi berkenaan setakat ini meragut 1,644 nyawa manakala 3,408 cedera dan 139 lagi masih hilang. - Getaran, 30 Mac 2025