
SINGAPURA: Singapura akan menyumbang US$100,000 kepada Türkiye melalui Palang Merah Singapura serta US$100,000 kepada Rayuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Syria yang dilancarkan pada 14 Feb 2023.
Menurut Kementerian Luar Singapura (MFA), sumbangan itu adalah sebagai tindak balas kepada gempa bumi dahsyat yang melanda tenggara Türkiye dan utara Syria pada 6 Feb 2023.
“Sumbangan itu akan menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula kedua-dua negara ini.
“Kami berharap sumbangan ini akan membantu rakyat Türkiye dan Syria pulih daripada bencana itu,” kata jurucakap MFA dalam satu kenyataan hari ini.
Sumbangan terbaharu Singapura itu dibuat selepas 68 anggota pasukan penyelamat daripada Angkatan Pertahanan Awam Singapura ditugaskan ke rantau ini.
Menurut angka rasmi terkini lebih 46,000 orang terbunuh di Türkiye dan Syria akibat bencana itu.
Gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. -Bernama



