Gempak Gempita Langit Langkawi, Tanda Bermulanya LIMA '23

23 May 2023 • 8:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melintasi langit biru Langkawi hari ini menjadi simbolik penyempurnaan pembukaan LIMA’23. - Gambar dari Facebook Angkatan Tentera Malaysia 

LANGKAWI - Gema deruman 36 pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melintasi langit biru Langkawi hari ini menjadi simbolik penyempurnaan pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23). 

Acara yang bermula 9.45 pagi itu didahului dengan pertunjukan udara yang turut disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke daripada landasan terbang atau tarmac di depan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa individu kenamaan serta delegasi luar negara.

Gambit bermula dengan pertunjukan pesawat pejuang F/A-18D Hornet dengan ‘ngauman’ enjin pesawat yang menggegarkan tarmac sekali gus mencuri tumpuan pengunjung.

Turut menarik perhatian ialah demonstrasi menyelamat menggunakan helikopter MD530G dan EC725AP melibatkan 10 anggota pasukan khas yang melakukan aksi taktikal fast roping. 

image is not available
LIMA ‘23 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ bermula hari ini hingga 27 Mei. - Gambar dari Facebook Angkatan Tentera Malaysia

Di kemuncak pertunjukan, para juruterbang ATM yang mengendalikan pesawat SU30MKM, F/A18D dan Hawk mempamerkan kemahiran mereka melakukan formasi berlian, disusuli bunyi letupan sebagai penamat persembahan mengujakan itu.

ATM sebelum ini mengesahkan lima negara akan menyertai pasukan aerobatik pada pertunjukan udara iaitu Indonesia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia.

LIMA ‘23 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ bermula hari ini hingga 27 Mei.

Edisi kali ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Sektor Pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (Sektor Komersil).

Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan ialah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu. - Bernama