Gempak Most Wanted Awards 2024’ Umum Calon Top 5, Aina Abdul Mendominasi

LocalEntertainment
17 Jan 2025 • 7:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Astro kembali mengangkat pilihan pengguna media sosial menerusi penganjuran Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2024 dengan pengumuman calon Top 5 pada sidang media eksklusif yang berlangsung di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur. 

Anugerah berprestij di bawah jenama Astro Gempak ini merangkumi 11 kategori termasuk Selebriti Tergempak, Program Digital Tergempak, Digital Creator (Lifestyle) Tergempak, Digital Creator (Foodie) Tergempak dan Digital Creator (Motivation & Education) Tergempak. 

image is not available

Edisi tahun 2024 turut memperkenalkan anugerah khas Keluang Man of the Year yang mengiktiraf individu yang memberi impak positif dalam komuniti, juga anugerah utama Gempak Most Wanted 2024 untuk calon individu yang mendapat undian tertinggi secara keseluruhan. 

Antara yang tercalon dalam senarai Top 5 GMWA 2024 termasuk penyanyi popular Aina Abdul yang kembali mendominasi persaingan kali ini dalam tiga kategori iaitu ‘Lagu/Audio Tergempak’ (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu, bersama Fabio Asher), ‘Program Digital Tergempak’ (Confession Bilik Gelap), dan juga menerusi lagunya Puas Sudah dalam ‘Video Muzik Tergempak’.  

Pemenang anugerah utama edisi 2023, pelakon Anna Jobling, turut kembali tercalon dalam kategori ‘Selebriti Digital Tergempak’ bersama-sama pelakon pecah panggung Amir Ahnaf, Meerqeen, Erysha Emyra dan Scha Elinnea.

image is not available

Sementara itu, kategori ‘Digital Creator (Beauty & Fashion) Tergempak’, iaitu antara pecahan terbaharu dalam senarai kategori GMWA 2024 pula menampilkan personaliti media sosial kegemaran ramai seperti Sofea Shra, Hawa Johanis, Malia Baby, Agy dan Yana Hassan sebagai calonnya. 

Meneruskan tradisi meraikan pencapaian individu yang mencetuskan fenomena di media sosial, GMWA 2024 juga menampilkan lagu tema baharu bertajuk ‘Gempak Most Wanted’, hasil nyanyian duet penyanyi terkenal Hael Husaini dan Nadeera Zaini. 

GMWA 2024 turut mencatat sejarah menerusi undian fasa pertama, yang berlangsung dari 28 November hingga 28 Disember lalu.

Jumlah undian merekodkan pencapaian luar biasa sebanyak 9.5 juta, iaitu lapan kali lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya iaitu 1.3 juta undian.

Mengulas kejayaan ini, Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah berkata, peningkatan undian yang luar biasa tahun ini mencerminkan sokongan serta minat mendalam rakyat Malaysia terhadap GMWA. 

“Rekod ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan GMWA sebagai platform utama meraikan bakat dan personaliti digital, tetapi juga menjadi inspirasi buat kami untuk membawa edisi 2024 ke tahap yang lebih gemilang.

“Kami amat berbesar hati dan teruja untuk terus meraikan kejayaan ini bersama para peminat dan komuniti digital. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Fritilldea, selaku pereka seni GMWA pada kali ini kerana membawa idea-idea kami menjadi nyata menerusi visual yang diterbitkan olehnya,” ujarnya.

GMWA 2024 bakal menyinari pentas dengan tema ‘Flex Your Art’, menyeru setiap pencipta kandungan digital untuk meneroka dan menonjolkan keunikan karya menerusi pelbagai medium. 

Tema ini menjadi platform untuk meraikan nilai dan keistimewaan setiap ciptaan, memupuk rasa bangga secara positif, serta menginspirasi keberanian berkongsi karya di pentas dunia tanpa batasan. 

Acara yang masih mengekalkan Amelia Henderson dan Sean Lee dan Sherry Alhadad sebagai pengacara ini akan dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Insomniacks, serta wajah-wajah baharu seperti 53 Universe, Naki dan Najmi Niery. 

image is not available
Sherry Al Hadad

Seorang diva terkemuka, sebuah band popular dan bintang dari seberang juga bakal hadir untuk membuat kejutan.

Undian fasa kedua, atau pemenang utama bagi setiap kategori boleh dilakukan di laman rasmi www.gempakmostwantedawards.com sehingga 23 Februari 2025, jam 12 tengah hari. 

GMWA 2024 bakal berlangsung secara LIVE pada 23 Februari  dari Auditorium MBSA, Shah Alam, eksklusif di saluran Astro Ria (104), On Demand, Astro GO, sooka dan semua platform digital Astro Gempak. - Getaran, 17 Februari 2024