
Gempar, Pengguna “Highway” LPT 2 Dakwa Ternampak Kelibat Harimau Tepi Jalan
Salah seorang pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) terkejut selepas didakwa ternampak kelibat seekor harimau di susur masuk Plaza Tol Dungun berhampiran dengan Kuala Dungun malam tadi.
Menurut Kosmo, pengguna jalan raya tersebut sempat merakam gambar haiwan berkenaan yang berada di tepi lebuhraya terbabit meskipun ketakutan dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam itu.
Difahamkan, individu tersebut telah berkongsikan gambar itu menerusi laman Facebook miliknya sebelum mencetuskan kekhuatiran kepada para pengguna LPT 2 tersebut.
Dalam pada itu, penduduk kampung berhampiran seperti Kampung Durian Mentangau juga turut berasa bimbang tentang kebarangkalian diancam oleh haiwan liar tersebut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Loo Kean Soeng berkata, pihak mereka sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkaitan kemunculan harimau belang tersebut.
“Setakat ini kita tidak menerima laporan rasmi berhubung kejadian. Bagaimanapun, kakitangan telah dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Kita percaya harimau ini sama yang pernah muncul di Hutan Bukit Bauk tidak lama dahulu kerana lokasinya yang tidak jauh,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Sumber: Kosmo
The post Gempar, Pengguna “Highway” LPT 2 Dakwa Ternampak Kelibat Harimau Tepi Jalan appeared first on Siakap Keli.
