"ZAMAN sekarang, nak tegur budak-budak pun kena fikir banyak kali. Silap cakap, merajuk. Tegur sikit, terasa. Nasihat lebih, kita pula dituduh sengaja mencari salah."
Itu antara rungutan yang sering kedengaran apabila membicarakan sikap generasi muda hari ini.
Teguran yang sepatutnya menjadi ruang mendidik, kini ada kalanya dianggap sebagai satu bentuk ‘mengherdik’.
Timbul persoalan, adakah generasi hari ini tidak boleh ditegur? Benarkah kelompok Gen Z lebih mudah terasa hati atau itu sekadar stereotaip yang diwarisi daripada perbezaan generasi?
Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin mendedahkan, beliau menerima aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) susulan ceramahnya mengenai generasi 'strawberi’.
Malah, beliau turut mendakwa diberikan tempoh tiga hari oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menjelaskan pemilihan tajuk ceramah berkenaan.
Sekarang ini, takkan nak tegur pun dah tak boleh? Istilah 'generasi strawberi' dipercayai berasal dari Taiwan dan digunakan bagi menggambarkan generasi muda yang dianggap mudah rapuh apabila berdepan tekanan, kritikan atau cabaran hidup.
Seperti strawberi yang cantik tetapi mudah lebam apabila ditekan, istilah itu menjadi kiasan kepada individu yang dikatakan sukar menghadapi kesukaran dan kurang tahan terhadap tekanan.
Di alam pekerjaan, perbezaan sikap antara generasi milenial dengan Gen Z juga sering menjadi perbualan.
Secara umum, milenial merujuk kepada mereka yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996, manakala Gen Z pula ialah mereka yang lahir antara 1997 hingga 2012.
Dari segi perbezaan, milenial dilihat sebagai generasi yang lebih berdaya tahan atau tidak mudah sentap, tetapi Gen Z pula dianggap lebih manja, namun berani bersuara sekiranya tidak berpuas hati, selain dunia digital adalah sebahagian realiti harian mereka.
Walau apa jua tafsiran diberi, tidak adil untuk melabel seluruh Gen Z sebagai hati tisu atau lembik kerana ramai saja generasi mereka yang bekerja keras, memikul tanggungjawab keluarga dan berdepan tekanan hidup yang tidak kurang beratnya.
Namun, satu perkara yang tidak boleh diketepikan ialah keupayaan setiap orang menerima teguran sama ada muda atau tua.
Ini kerana, dalam kehidupan, bukan semua perkara akan berjalan mengikut kehendak sendiri.
Di tempat kerja, kesilapan perlu diperbetulkan. Di sekolah, teguran tegas perlu diberikan sebagai satu bentuk didikan, begitu juga dalam keluarga yang nasihat perlu disampaikan supaya seseorang tidak terus mengulangi kesalahan sama.
Jika setiap kritikan dianggap serangan peribadi, bagaimana seseorang mahu belajar daripada kesilapan? Di sinilah pentingnya membezakan antara sikap sensitif dengan kematangan.
Individu matang bukanlah seseorang yang tidak pernah terasa hati, sebaliknya mampu menilai teguran secara rasional, menerima kritikan berasas dan mempertahankan diri apabila berlaku ketidakadilan.
Begitu juga golongan lebih berusia, di mana pengalaman hidup yang panjang tidak bermaksud setiap cara menegur sentiasa betul.
Kata-kata yang menghina, memperlekehkan atau memalukan seseorang di hadapan orang lain boleh merosakkan hubungan, bukannya membentuk ketahanan diri.
Jawapannya mungkin terletak pada sikap, bukan usia. Ada anak muda yang cekal, sebagaimana ada orang dewasa yang sukar menerima teguran.
Setiap generasi mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Oleh itu, melabel satu generasi secara menyeluruh hanya melebarkan jurang, bukannya menyelesaikan masalah.
Kita tidak mahu lahirkan generasi takut bersuara, tetapi kita juga tidak mahu membentuk generasi yang anggap setiap teguran sebagai ancaman.
Dalam kehidupan, tidak semua orang yang menegur berniat mahu menjatuhkan. Ada kalanya, teguran itulah yang membantu seseorang itu menyedari kesilapan dan menjadi insan yang lebih baik.
Jika teguran yang membina pun sukar diterima, bagaimana mahu menghadapi dunia sebenar yang tidak sentiasa memihak kepada kita?
*Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan



