Gen Z Dahagakan Kestabilan Kewangan, Bukan Sekadar Gaji Tinggi – Dr Emma Mohamad

LocalPersonal Finance
17 Jul 2026 • 12:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Gen Z Dahagakan Kestabilan Kewangan, Bukan Sekadar Gaji Tinggi – Dr Emma Mohamad

Gen Z Dahagakan Kestabilan Kewangan, Bukan Sekadar Gaji Tinggi – Dr Emma Mohamad

Peningkatan kos sara hidup, tekanan sosial di media sosial dan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara cabaran terbesar yang membentuk cara Generasi Z (Gen Z) merancang masa depan mereka termasuk dalam aspek kerjaya, kewangan dan keusahawanan.

Menurut Profesor Madya Komunikasi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Emma Mohamad, golongan muda kini bukan sekadar mencari pekerjaan, sebaliknya mengutamakan kestabilan kewangan bagi membolehkan mereka membina kehidupan yang lebih terjamin pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Siakap Keli pada sambutan 50 Tahun Amway Malaysia, hari ini.

Dr. Emma sebelum itu turut menjadi panel forum bertajuk “Memperkasa Rakyat: Menangani Tekanan Kos Sara Hidup Melalui Keusahawanan Beretika”, yang membincangkan cabaran ekonomi semasa serta kepentingan membudayakan keusahawanan beretika dalam kalangan masyarakat.

Gen Z utamakan kestabilan kewangan, bukan sekadar kerjaya

Mengulas rumusan pembentangannya dalam forum itu, Dr. Emma berkata hasil kajian yang dijalankan bersama Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan MBA mendapati Gen Z kini semakin memberi keutamaan kepada kestabilan kewangan di samping peluang perkembangan kerjaya serta fleksibiliti pendapatan.

Menurut beliau, dapatan kajian menunjukkan ramai dalam kalangan Gen Z kini berada pada fasa kehidupan yang semakin matang dan mula memikirkan soal pembinaan keluarga serta komitmen kewangan jangka panjang.

“Melalui kajian ini, kami melihat apa sebenarnya yang dimahukan oleh Gen Z daripada aspek career growth, income flexibility dan sebagainya.

“Kami mendapati mereka sebenarnya memerlukan kestabilan kewangan kerana sebahagian daripada mereka kini menghampiri usia 30 tahun dan mula memikirkan bagaimana untuk membina keluarga serta memastikan mereka mempunyai pendapatan yang stabil,” katanya.

Menurut beliau, kesedaran terhadap keperluan ekonomi itu menyebabkan ramai golongan muda mula mencari peluang untuk mengukuhkan kedudukan kewangan sebagai persediaan menghadapi masa depan.

Baca juga:

Kos sara hidup beri tekanan lebih besar kepada Gen Z dan graduan baharu

Mengulas sama ada tekanan kos sara hidup berkait rapat dengan Gen Z serta graduan baharu, Dr. Emma berkata golongan itu sememangnya antara yang paling terkesan berikutan masih berada pada peringkat awal kerjaya.

Menurut beliau, pendapatan yang masih rendah berbanding generasi lain menyebabkan mereka lebih mudah merasai tekanan kewangan.

“Tekanan kos sara hidup sebenarnya dirasai oleh semua generasi, namun bagi Gen Z yang baru memulakan kerjaya, mereka lebih terkesan kerana pendapatan mereka masih belum begitu tinggi.

“Pada masa sama, pengaruh media sosial turut menambahkan tekanan apabila ramai sering membuat perbandingan dengan kehidupan orang lain, sekali gus meningkatkan tekanan kewangan yang mereka alami,” katanya.

Beliau berkata gabungan tekanan ekonomi dan tekanan sosial itu menjadikan cabaran yang dihadapi Gen Z hari ini jauh lebih kompleks berbanding sebelum ini.

Image from: Gen Z Dahagakan Kestabilan Kewangan, Bukan Sekadar Gaji Tinggi – Dr Emma Mohamad
Profesor Madya Komunikasi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Emma Mohamad ketika menyampaikan forum di sini, hari ini. Kredit foto: Haziq Hakimi/ Siakap Keli

AI perlu digunakan secara beretika dalam dunia keusahawanan

Mengulas kesan AI terhadap etika keusahawanan, Dr. Emma berkata teknologi berkenaan sememangnya menawarkan pelbagai kelebihan, namun turut membuka ruang kepada penyalahgunaan sekiranya tidak dikawal.

Menurut beliau, penggunaan AI yang semakin meluas memerlukan garis panduan dan rangka kerja yang jelas bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab.

“AI memberikan cabaran besar dalam menghasilkan maklumat dan kandungan yang beretika kerana ia sangat mudah digunakan secara tidak beretika.

“Sebab itu kita memerlukan satu rangka kerja dan akta yang sesuai bagi memastikan aspek etika dalam keusahawanan terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai etika perlu diberi perhatian agar AI mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tanpa mengorbankan integriti dalam dunia keusahawanan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved