
MELAKA – Masakan tradisional acar darat ikan betuk yang cukup popular dalam kalangan masyarakat terdahulu khususnya pesawah di negeri ini dibimbangi tenggelam ditelan zaman.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Induk Program Ajak Sekampung Santuni Madani 2026, Datuk Akramudin Abdul Aziz berkata, generasi hari ini bukan sahaja kurang mengenali hidangan tersebut, malah ramai tidak mengetahui cara menyediakannya.
Menurutnya, resipi warisan itu mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan masyarakat kampung yang turun ke sawah bagi mengusahakan tanaman padi suatu ketika dahulu.
“Pada zaman dahulu, apabila tiba musim menuai dan air sawah mula mengering, penduduk kampung akan menangkap ikan betuk yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Ikan itu kemudiannya digoreng dan dimasak bersama bahan-bahan lain untuk dijadikan acar darat ikan betuk,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan yang dirasmikan Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad di Alai, di sini, hari ini.
Jelasnya, seramai 25 peserta terlibat dalam acara berkenaan dan mereka terlebih dahulu diberikan penerangan serta tunjuk ajar mengenai kaedah penyediaan acar darat ikan betuk.
Menurutnya, ikan betuk kini semakin sukar diperoleh dan harganya boleh mencecah kira-kira RM30 sekilogram selepas siap disiang. – KOSMO! ONLINE
The post Gen Z kenal acar darat ikan betuk? appeared first on Kosmo Digital.
