“Gen Z paling bersemangat pernah saya ajar”, pensyarah FiTA puji anak didik jayakan wayang pacak@UiTM

EntertainmentMovie
9 Jul 2026 • 3:18 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

SHAH ALAM – Konsep wayang pacak yang pernah menjadi nostalgia masyarakat suatu ketika dahulu kini kembali mencuri perhatian apabila berjaya menghimpunkan hampir 500 penonton menerusi program Cinemove Wayang Pacak Moden@UiTM, sekali gus membuktikan pendekatan itu masih relevan sebagai medium mendekatkan industri perfileman dengan generasi muda.

Program anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Produksi Filem), Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana itu menampilkan tayangan eksklusif filem Libang Libu arahan Bobby Husaini terbitan Tangerine Films.

Penasihat Kelab Cinemove merangkap pensyarah Fakulti FiTA, Azlan Syah Rashid, berkata sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan sehingga pihak penganjur terpaksa menambah tempat duduk bagi menampung kehadiran penonton.

“Alhamdulillah, ini merupakan CineMove edisi keenam. Kali ini kita bekerjasama dengan Tangerine Films membawa filem Libang Libu yang telah meraih kutipan lebih RM14 juta di pawagam.

“Sambutan malam ini sangat luar biasa. Kita menjangkakan hampir 500 penonton hadir dan terpaksa menambah beberapa tempat duduk kerana permintaan yang tinggi. Lebih membanggakan, tayangan ini diberikan secara percuma hasil sokongan Tangerine Films dan rakan penaja,” katanya kepada MYBERITA.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar menyediakan platform hiburan kepada warga kampus, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran sebenar kepada pelajar untuk berdepan sendiri dengan cabaran industri kreatif.

Katanya, lebih 20 pelajar mengambil masa kira-kira 13 minggu membuat persiapan termasuk mendapatkan penajaan, mengurus logistik serta merancang perjalanan program.

“Apa yang saya ajar dalam kelas, mereka praktikkan di luar. Saya lihat kumpulan pelajar kali ini sangat komited. Mereka turun padang mencari penaja, mengurus pelbagai perkara dan belajar secara langsung bagaimana sebuah acara industri dilaksanakan.

“Bagi saya, pelajar tidak semestinya perlu sempurna, tetapi mereka perlu gembira ketika belajar kerana di situlah pengalaman sebenar diperoleh,” katanya.

Azlan berkata, Kelab Cinemove yang ditubuhkan sejak 2024 berfungsi sebagai platform menghubungkan pelajar dengan industri melalui pelbagai aktiviti seperti tayangan wayang pacak, podcast, penerbitan filem pendek serta projek video muzik melibatkan alumni FiTA.

Beliau berkata, hasil inisiatif itu, ramai ahli kelab berjaya menjalani latihan industri dan memperoleh peluang pekerjaan di syarikat perfileman serta penyiaran seperti Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, MIG, Scope Pictures dan Media Prima.

Mengulas mengenai pemilihan filem yang ditayangkan, Azlan berkata pihaknya sentiasa menitikberatkan karya yang mempunyai nilai moral tinggi, beridentitikan tempatan dan terbukti mendapat sambutan penonton.

“Prinsip kami mudah. Filem yang dipilih mesti mempunyai nilai moral yang tinggi, mengangkat jati diri tempatan dan pada masa sama terbukti berjaya di pawagam. Melalui karya seperti ini, pelajar dapat memahami bagaimana sebuah filem dipasarkan sehingga mencapai kejayaan box office,” katanya.

Beliau berkata, konsep wayang pacak moden menggunakan skrin LED di kawasan terbuka dipilih bagi menghidupkan semula budaya tayangan filem luar yang pernah popular suatu ketika dahulu.

“Kita mahu membawa semula warisan wayang pacak kepada generasi hari ini. Jika pelajar mampu menarik ratusan penonton hadir ke tayangan luar seperti ini, mereka juga akan lebih bersedia memasarkan filem di platform digital, pawagam atau penstriman,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Cinemove, Syafiq Shahzuan Mazhanis, berkata kejayaan program tersebut merupakan hasil kerjasama seluruh jawatankuasa walaupun berdepan beberapa cabaran termasuk faktor cuaca.

“Secara keseluruhannya program ini mencapai sasaran kami. Memang ada sedikit kelewatan kerana hujan, tetapi semuanya dapat diatasi dan acara berjalan lancar. Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras sejak awal perancangan lagi,” katanya.

Naib Presiden Kelab Cinemove pula berkata, objektif utama program bukan sekadar memberi peluang kepada pelajar menonton filem, malah membuka ruang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan pengarah, kru produksi serta pemain industri.

“Kami mahu pelajar merasai sendiri suasana industri sebenar. Sebab itu kami bawakan pengarah, kru produksi dan konsep wayang pacak yang berbeza daripada program di universiti lain supaya mereka mendapat pengalaman yang sukar diperoleh di dalam bilik kuliah,” katanya.

Program Cinemove Wayang Pacak Moden@UiTM merupakan siri kelima tayangan filem di bawah jenama Cinemove selepas sebelum ini menampilkan filem Mar RakAbnormal: BuasGold dan Martabat: Misi Berdarah, selain pernah menganjurkan Cinemove Podcast x Sulam International Online Webinar yang mempromosikan inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) di peringkat antarabangsa.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved