'Genap sebulan duhai anak solehku…' - Rutin Amyza Aznan di pusara Andre Mikhail undang sebak

LocalFamily & Parenting
25 Mar 2026 • 4:02 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SEBULAN sudah berlalu, namun kehilangan itu masih terasa seolah-olah baru semalam.

Bagi pelakon Amyza Aznan, perjalanan menerima takdir bukan sesuatu yang mudah.

Dalam diam, dia memilih untuk mendekatkan diri dengan kenangan melalui satu rutin yang kini menjadi pengubat rindu.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Amyza memuat naik video yang cukup menyentuh hati, memperlihatkan dirinya menziarahi pusara anak tercinta, Andre Mikhail.

Bukan sekadar ziarah biasa, rutin itu dilakukan hampir setiap hari, seolah-olah itulah cara paling dekat untuk terus ‘bertemu’.

“23 Februari 2026 hingga 23 Mac 2026, genap sebulan duhai anak solehku, Andre Mikhail Bin Khairil Izhar.

"Ya ALLAH, ampunilah dia, kasihanilah dia, berilah keselamatan kepadanya dan ampuni dosanya," ujarnya.

Luahan ringkas itu cukup menggambarkan betapa dalamnya kasih seorang ibu.

Dalam video berkenaan juga, Amyza dilihat setia menguruskan pusara arwah dengan penuh teliti dengan membersihkan kawasan sekeliling, menambah tanah dan menyusun batu, seolah-olah menjaga ‘rumah’ anaknya dengan penuh cinta.

Sekadar makluman, Allahyarham Andre Mikhail, 20, sebelum ini berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga selama setahun.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 23 Februari lalu.

Di sebalik ujian kehilangan itu, Amyza dan keluarga turut diuji apabila anak keduanya, Andrian Adam, disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu.

Ujian datang bertimpa, namun sebagai ibu, Amyza tetap kuat berdiri.

Difahamkan, Andrian kini sedang menjalani rawatan alternatif sebagai ikhtiar melawan penyakit tersebut, satu lagi perjuangan yang pastinya menuntut kekuatan emosi dan fizikal.

Dalam dunia yang sering bergerak laju, kisah ini mengingatkan bahawa kasih seorang ibu tidak pernah terhenti, walau dipisahkan oleh alam yang berbeza. Ada rindu yang tidak mampu dilafazkan, hanya diterjemahkan melalui doa dan setia yang tidak pernah putus.

View Original Article