
TEHRAN, 15 MEI: Iran menegaskan gencatan senjata dengan Amerika Syarikat (AS) masih berkuat kuasa walaupun keadaan ketika ini disifatkan sebagai rapuh dan tidak stabil.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Tehran sedang berusaha mengekalkan gencatan senjata itu bagi memberi ruang kepada penyelesaian diplomatik menerusi rundingan.
“Seperti yang anda semua ketahui, ketika ini kami mempunyai gencatan senjata (dengan Amerika Syarikat).
“Walaupun ia tidak stabil, kami berusaha mengekalkannya bagi memberi peluang kepada diplomasi untuk mencari penyelesaian secara rundingan terhadap konflik itu,” katanya pada sidang media di New Delhi hari ini.
Menurut beliau, Iran tetap berpendirian bahawa tiada penyelesaian ketenteraan terhadap konflik membabitkan negara itu.
“Tiada penyelesaian ketenteraan bagi isu yang melibatkan Iran,” katanya sambil menegaskan Tehran kekal terbuka kepada rundingan sekiranya Washington menunjukkan kesungguhan dalam proses diplomatik.
