
KUALA LUMPUR - Malaysia mengalu-alukan perkembangan terkini rundingan gencatan senjata di Gaza, dan ia sedikit sebanyak memberikan harapan selepas sekian lama wilayah itu berdepan kesengsaraan akibat kezaliman Zionis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa sahaja usaha yang dapat menghentikan keganasan dan melindungi nyawa yang tidak berdosa mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan, pada kadar segera.
Menurut beliau, Malaysia berdiri teguh dalam solidariti sepenuhnya bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan keadilan, maruah dan kenegaraan.
“Saya menyeru semua pihak yang berkaitan agar merebut peluang ini untuk bergerak ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan.
“Pelan Damai Gaza menampakkan usaha permulaannya, namun jalan menuju damai masih panjang dan berliku,” katanya sewaktu menyampaikan pidato pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza malam tadi.

Jelas Perdana Menteri, sokongan Malaysia ke atas semangat persefahaman awal itu bukan tanda tunduk kepada Zionis, sebaliknya berpaksikan keyakinan bahawa diplomasi yang berani dan berprinsip mampu membuka ruang kepada keamanan sebenar.
“Kita tidak puas hati sepenuhnya, namun kita tidak akan berhenti berusaha. Setiap langkah adalah untuk menoktahkan kezaliman dan penindasan yang semakin menggila.
“Malam tadi, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat saudara-saudara kita di Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan,” katanya.
Tak Gentar Perjuang Kebenaran
Anwar menarik perhatian, beliau amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian.
Kehadiran mereka katanya, bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan.
“Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela.
“Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran. Kita akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza,” tegasnya.

Beliau memberi jaminan, Malaysia akan terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan.
“Kita akan terus membuka jalan kepada keamanan yang hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia,” katanya.
Bukan Tanda Lemah
Mengulas lanjut Anwar berkata, berunding bukan bererti menyerah kepada musuh atau sebagai tanda lemah, sebaliknya ia adalah tanda kebijaksanaan dan kematangan dalam merungkai konflik serta mencari jalan damai.
“Kita boleh berbeza pandangan, namun tetap perlu ruang berbincang kerana diplomasi ialah senjata bangsa yang berprinsip dan cintakan keamanan.
“Jemputan kepada mana-mana pemimpin dunia, termasuk Donald Trump, bukan soal tunduk menyembah sebaliknya keberanian untuk bercakap terus kepada kuasa besar, agar suara kolektif ASEAN dan dunia Islam didengar,” katanya.
Beliau memberitahu, Malaysia akan terus memperteguh usaha serta ikhtiar termasuk berbincang bersama Mesir, untuk mencari laluan terbaik menyalurkan bantuan kemanusiaan buat penduduk Palestin di Gaza menerusi Sempadan Rafah.
“Kita faham cabaran yang besar, namun iltizam kita lebih daripada itu. Setiap usaha rundingan dan koordinasi ini adalah demi memastikan rakyat Gaza mendapat hak mereka untuk hidup, menerima bantuan, dan bebas daripada kezaliman.
“Ini isu kemanusiaan dan kita perlu terus berikhtiar serta tidak berganjak dalam pendirian kita memperjuangkan keadilan. Jangan sekali kita menyerah,” katanya. - Getaran, 9 Oktober 2025
