Gencatan senjata gagal, Israel arahkan serangan ke Iran diteruskan

WorldPolitics
24 Jun 2025 • 9:36 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

• Israel tuduh Iran langgar gencatan senjata, arah serangan balas ke Tehran
• Iran nafi sekeras-kerasnya, dakwa Israel gunakan alasan untuk teruskan serangan

Harapan untuk melihat penghujung konflik Israel-Iran hanya bertahan beberapa jam selepas pengumuman gencatan senjata yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Israel menuduh Iran melancarkan peluru berpandu ke wilayahnya dan bertindak balas dengan mengarahkan serangan udara ke sasaran Iran di tengah Tehran.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dalam kenyataan tegas berkata, “Saya telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel untuk bertindak balas secara agresif terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Iran dengan serangan menyeluruh ke atas kerajaan Iran di tengah Tehran.”

IDF memaklumkan siren dibunyikan di utara Israel sekitar jam 3:30 pagi waktu tempatan susulan serangan dari Iran. Dakwaan ini dibuat hanya beberapa jam selepas kedua-dua negara bersetuju menghentikan permusuhan dalam apa yang digelar Trump sebagai “Perang 12 Hari”.

Iran nafi serang, tuduh Israel langgar dulu

Iran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Israel. Sebaliknya mendakwa Israel telah melancarkan tiga serangan ke atas wilayahnya selepas gencatan senjata bermula. Media negara itu memetik sumber tidak dinamakan yang menyifatkan tuduhan Israel sebagai “alasan rekaan untuk meneruskan pencerobohan”.

Israel pula mendakwa berjaya memintas dua peluru berpandu dari Iran dan menerbitkan gambar dari Kedutaan Israel di London yang didakwa sebagai bukti serangan Iran semasa tempoh gencatan.

“Iran terus menunjukkan wajah sebenar sebagai negara pengganas dan ancaman rantau ini,” kata kenyataan kedutaan itu.

Israel sebelum ini menyatakan persetujuan kepada gencatan senjata kerana mendakwa telah mencapai semua objektif ketenteraan sejak 13 Jun, termasuk membunuh ratusan rakyat Iran, jeneral kanan dan saintis nuklear. Namun, Israel turut menegaskan mereka akan bertindak balas secara tegas terhadap sebarang pelanggaran.