Gencatan senjata gagal ‘kuburkan’ derita rakyat Gaza

WorldPolitics
7 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gencatan senjata gagal ‘kuburkan’ derita rakyat Gaza

HAMPIR setahun selepas gencatan senjata berkuat kuasa, penderitaan rakyat Gaza masih belum berakhir apabila mereka terus hidup dalam ketakutan, kekurangan makanan dan tempat tinggal yang serba daif.

Kemudahan asas seperti kesihatan dan pendidikan juga masih terjejas, menimbulkan persoalan sejauh mana genca­tan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan penduduk.

Penduduk masih berlin­dung di khemah sesak, selain berdepan kekurangan makanan dan kemudahan asas yang tidak mencukupi sepanjang gencatan senjata itu dikuatkuasakan.

Sehingga minggu ini, Israel masih meneruskan serangan udara ke atas kediaman penduduk di Gaza sehingga menyum­bang kepada korban baharu, selain mengetatkan sekatan terhadap wilayah itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,454 rakyat Palestin terbunuh dan 5,100 lagi cedera sejak gencatan senjata itu diumumkan.

Bahkan, jaminan untuk membawa keamanan dan pemulihan seolah-olah sekadar menjadi ‘hiasan’ pada gencatan senjata itu apabila realiti kehidupan penduduk masih jauh daripada keadaan yang dijanjikan.

Walaupun pertempuran berskala besar berkurangan dan kemasukan bantuan meningkat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih melaporkan terdapat serangan dan tembakan, sementara 65 peratus wilayah Gaza kekal di bawah kawalan ketat Israel, termasuk kawasan yang menempatkan kemudahan air, kesihatan, makanan serta pendidikan.

Sebahagian besar wilayah itu kekal sukar diakses.

Peningkatan bantuan juga belum diterjemahkan kepada pemulihan menyeluruh apabila keperluan makanan, tempat tinggal, kesihatan dan air bersih masih belum diselesaikan.

Jika gencatan senjata itu sepatutnya menjadi titik mula kepada keamanan dan pemulihan, mengapa hampir setahun kemudian penderitaan dan ancaman terhadap penduduk Gaza masih belum berakhir?

Bahkan, gesaan terbaharu Setiausaha Agung PBB, António Guterres supaya gencatan senjata itu dijadikan perjanjian kekal menunjukkan janji keamanan belum diterjemahkan kepada perubahan nyata di Gaza.

Pelan damai tajaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump  juga gagal membawa Gaza ke fasa pemulihan seperti yang dijanjikan. Pada September, Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Trump mengumumkan pelan pemulihan Gaza bernilai AS$2.45 bilion (kira-kira RM10 bilion), meli­batkan 66 projek.

Namun, hampir setahun selepas gencatan senjata, kerja pembinaan semula masih belum bermula, manakala Israel terus mengawal lebih 60 peratus wilayah Gaza dan mengehadkan kemasukan peralatan yang diperlukan untuk kerja pemulihan.

Kelewatan itu menunjukkan kelemahan pelaksanaan pelan berkenaan apabila janji pemulihan masih tersekat pada isu pengunduran tentera Israel dan pelucutan senjata Hamas. Malah, rundingan antara kedua-dua pihak mengenai pelaksana­an fasa seterusnya masih belum mencapai penyelesaian.

Rakyat Gaza juga tidak mempunyai ruang untuk menunggu penyelesaian politik dalam keadaan kehidupan mereka masih bergantung bantuan akibat konflik yang memasuki tahun ketiga.

Bagi mereka, kejayaan gencatan senjata sepatutnya dapat dilihat melalui perkara pa­ling asas, merangkumi jaminan kese­lamatan, makanan mencukupi, rawatan kesihatan dan akses pendidikan untuk kanak-kanak.

 

The post Gencatan senjata gagal ‘kuburkan’ derita rakyat Gaza appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved