Geng Acu dalang curi kabel ECRL tumpas

15 May 2026 • 11:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Geng Acu dalang curi kabel ECRL tumpas
Azry Akmar menunjukkan gambar lokasi, suspek dan barang kes curi kabel didalangi Geng Acu yang berjaya ditahan.

KUANTAN- Polis berjaya menumpaskan 'Geng Acu' disyaki dalang beberapa kes kecurian kabel di kawasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekitar daerah ini berikutan penahanan lima suspek dalam beberapa siri tangkapan sejak 28 April hingga 6 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berikutan penahanan kesemua suspek berusia 29 hingga 44 tahun itu, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian kabel ECRL sekitar Kuantan membabitkan kerugian dianggarkan mencecah RM500,000.

Menurutnya, suspek ditahan dalam beberapa serbuan di kawasan Kampung Pandan, Jaya Gading, Sungai Lembing dan Beserah di sini.

"Kita dapati, empat suspek terlibat aktif dalam aktiviti mencuri kabel manakala seorang lagi bertindak sebagai pembeli.

"Hasil serbuan dijalankan, polis menemui dan merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Inova yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat, kulit kabel yang telah dipotong, alat pemotong dan telefon bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM100,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Jumaat.

Azry Akmar berkata, hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

"Empat daripada suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

"Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen379, Seksyen 431A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit geng baharu yang aktif di sekitar Kuantan.

"Penahanan mereka susulan tujuh kes kecurian yang dilaporkan berlaku kawasan ECRL di sekitar Gebeng, KotaSAS dan Panching.

"Jumlah kerugian membabitkan tujuh kes itu mencecah RM500,000 termasuk kecurian membabitkan kira-kira 4,200 meter kabel signal yang bertutup dengan penutup longkang dianggarkan RM400,000," katanya

Sementara itu, Azry Akmar berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat termasuk penglibatan 'orang dalam' dalam kegiatan tersebut.

"Pihak polis berkerjasama dengan pihak ECRL bagi menjalankan rondaan dan pemantauan di jajaran ECRL di daerah ini bagi mengelak jenayah itu berulang," katanya.