SUNGAI PETANI - Polis menumpaskan Geng Alif dianggotai bekas banduan yang aktif mencuri motosikal sekitar daerah ini membabitkan rampasan kerugian RM45,000.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, ketua geng berusia 32 tahun dan dua lagi ahli berusia 42 dan 48 tahun, ditahan di Merbok dalam serbuan Op Lejang yang dilaksanakan sepanjang Mac ini.
Menurutnya, dua lagi ahli geng dan seorang pemilik bengkel haram masih diburu, disyaki mempunyai kaitan dalam kegiatan curi dan ubah suai motosikal.
"Geng ini dikesan aktif curi motosikal sejak Oktober lalu...susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah melaksanakan operasi khas Op Lejang sepanjang Mac 2026.
"Menerusi serbuan tersebut, pasukan turut merampas enam buah motosikal dan dua buah rangka motosikal dengan anggaran kerugian RM45,000," katanya kepada media di IPD Kuala Muda pada Rabu.
Hanyan berkata, modus operandi ialah membawa motosikal curi ke bengkel haram untuk dijadikan sebagai alat ganti.
Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau terhadap kesemua suspek mendapati, ketua geng mempunyai 27 rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah.
Ahli geng pula dikesan mempunyai 20 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah sementara seorang lagi mempunyai lima rekod jenayah.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
