Geng bersenjata samun rumah mewah tumpas

29 Oct 2026 • 10:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Geng bersenjata samun rumah mewah tumpas

KOTA KINABALU – Polis menumpaskan satu sindiket jenayah bersenjata dipercayai terbabit dalam 17 kes rompakan berkumpulan dan pecah masuk rumah mewah, di beberapa daerah di Sabah, melibatkan kerugian RM304,500.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kejayaan itu hasil pelaksanaan Ops Casa dan Ops Pintu, susulan penubuhan pasukan petugas khas bulan lepas bagi menyiasat dua kes rompakan bersenjata yang berlaku di sini pada Ogos.

Katanya, enam lelaki berusia antara 30 hingga 43 tahun ditahan, manakala semakan mendapati mereka memiliki 75 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dengan beberapa suspek lagi dipercayai terlibat dengan sindiket itu sedang diburu.

“Polis turut merampas pelbagai barangan berharga antaranya jam tangan mewah, beg tangan berjenama, peralatan elektronik, kereta, peralatan memancing dan sebuah peti besi.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu, menyasarkan kediaman mewah yang ditinggalkan kosong untuk dirompak dan tidak teragak-agak menggunakan senjata tajam bagi menakut-nakutkan mangsa sekiranya terdapat penghuni di dalam rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, berhubung rompakan bersenjata secara berkumpulan dan Seksyen 457 kanun sama untuk kes pecah rumah.

Katanya, suspek turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan berkaitan memiliki serta melupuskan harta curi, Seksyen 447 kanun sama, bagi pencerobohan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – Bernama

The post Geng bersenjata samun rumah mewah tumpas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved