Geng Budak Sekolah: Salah Siapa Sebenarnya?

Opinion
21 Aug 2025 • 12:00 PM MYT
Fa Abdul
Fa Abdul

FA ABDUL is a former columnist of Malaysiakini & Free Malaysia Today (FMT).

image is not available
Gambar sekadar hiasan (kredit: Canva)

Apabila berita tersebar bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditahan kerana mengendalikan kumpulan seks dalam talian dengan ahli seramai 762 orang, ramai yang terkejut biawak mendengarnya. Iyalah, seorang budak yang baru nak masuk sekolah menengah, mengeksploitasi dirinya sendiri demi wang - mana mungkin perkara sebegini berlaku di Malaysia Madani kita?

Tetapi inilah kebenarannya. Dan yang paling dahsyat sekali - ia bukan sesuatu yang baharu.

Saya Pernah Melihatnya Sebelum Ini

Membesar di sebuah kampung kecil di Bukit Mertajam, saya dihantar bersekolah di pekan Kulim, Kedah yang serba-serbi konservatif. Sekolah saya merupakan sebuah sekolah perempuan sahaja, dan kalau nak tahu satu perkara tentang sekolah perempuan - berita panas selalu tersebar dengan pantas.

Antara tahun 1987 hingga 1992 ketika saya bersekolah di sana, banyak benar kisah yang saya ketahui tentang rakan-rakan sekolah saya yang bereksperimen dengan seksualiti mereka.

Antaranya adalah seorang pelajar 15 tahun yang dihantar ibubapanya agar tinggal bersama guru wanita pada hari persekolahan, tetapi diam-diam menghabiskan hujung minggu bersembunyi di bilik tidur teman lelakinya (juga berusia 15 tahun). Sandiwaranya hanya terbongkar apabila ibu kepada teman lelakinya secara tidak sengaja menemuinya di bilik itu. Selepas kejadian itu dia tidak lagi kembali ke sekolah.

Image from: Geng Budak Sekolah: Salah Siapa Sebenarnya?
Gambar sekadar hiasan (kredit: Canva)

Seorang lagi pelajar berusia 14 tahun yang mengikuti rombongan sekolah telah berpakat dengan teman lelakinya agar mengekori bas sekolah dengan motosikalnya. Pada waktu malam, ketika semua pelajar dan guru tidur di hostel yang disewa, dia akan menyelinap keluar berdua-duaan dengan teman lelakinya. Akhirnya pelajar tersebut ditangkap oleh pemandu bas di tengah pagi buta, sedang beromantika bersama teman lelakinya dalam keadaan bogel di dalam bas yang diparkir. Selepas digantung sekolah, dia kembali ke sekolah - namun apabila mengetahui dirinya hamil, dia meninggalkan sekolah untuk menggugurkan kandungan, lalu kembali sebentar sebelum berhenti terus.

Kisah seterusnya pula berlaku di sebuah sekolah bercampur berhampiran sekolah saya, di mana seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang berbangga bertukar-tukar teman lelaki, mengadakan hubungan intim secara rambang demi hadiah dan pemberian dari teman lelakinya.

Semua ini berlaku pada akhir 80-an dan awal 90-an. Ketika itu tiada telefon pintar. Tiada internet. Tiada media sosial. Namun remaja tetap mencari jalan menerokai seksualiti masing-masing.

Image from: Geng Budak Sekolah: Salah Siapa Sebenarnya?
Gambar sekadar hiasan (kredit: Canva)

Mata Yang Sentiasa Memerhati

Di rumah saya pula, suasananya berbeza. Ibu bapa saya memberi saya kebebasan, tetapi mereka juga tidak alpa memerhati segala tindak-tanduk saya umpama helang. Pemeriksaan mengejut (spot check) setiap minggu adalah satu rutin ketika itu. Beg sekolah dan buku catatan saya diperiksa, lirik lagu berunsurkan cinta yang saya conteng selalu menjadi punca saya di soal-siasat.

Bertahun kemudian, apabila saya sendiri menjadi seorang ibu, saya juga mula memerhati segala tindak-tanduk anak-anak saya. Ketika anak perempuan saya mencapai usia remaja di sekolah bercampur, saya dapat merasakan pengaruh dan godaan di sekelilingnya. Dan saya terus bertindak, mengeluarkannya dari persekitaran yang boleh membawa bahaya ke persekitaran baru yang lebih selamat.

Pengalaman saya sebagai seorang remaja dan juga ibu kepada para remaja adalah antara sebab saya tidak terkejut membaca berita tentang budak 12 tahun yang memulakan ‘Geng Budak Sekolah’ tersebut. Saya hanya sekadar tertanya: Bagaimana ibu bapanya tidak tahu?

Image from: Geng Budak Sekolah: Salah Siapa Sebenarnya?
Gambar sekadar hiasan (kredit: Canva)

Apa Yang Terbongkar Dari Kes Hari Ini

Ya, zaman digital hari ini mengubah keadaan mereka berbanding zaman kita dahulu. Anak-anak hari ini adalah “digital natives” - mereka tahu membina komuniti atas talian, menjana duit, malah sepuluh langkah lebih maju daripada orang dewasa. Tetapi hakikat asas tidak berubah: darah muda remaja memang penuh dengan rasa ingin tahu. Tubuh mereka berkembang lebih cepat, berbanding otak mereka yang lambat mengejar.

Apa yang menjadikan kes ini lebih membimbangkan ialah faktor ekonomi. Laporan menyebut kanak-kanak ini memperoleh lebih banyak pendapatan daripada ibu bapanya. Itu menggambarkan bagaimana anak-anak menilai kejayaan dalam masyarakat yang terlalu menyanjung wang berbanding usaha jangka panjang.

Undang-Undang Tidak Akan Memadai

Malaysia sudah ada undang-undang - Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, malah Kanun Keseksaan. Tetapi undang-undang hanya bertindak selepas sesuatu berlaku. Sayangnya, di saat ia dikuatkuasakan, kerosakan sudah pun terjadi - anak-anak kita sudahpun menjadi mangsa.

Sudah berbuih mulut saya mengatakan hal ini, tapi kita tidak boleh bergantung pada undang-undang sahaja. Pencegahan mesti didahulukan.

Image from: Geng Budak Sekolah: Salah Siapa Sebenarnya?
Gambar sekadar hiasan (kredit: Canva)

Perbualan Yang Hilang

Dan di sinilah ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting.

Ramai di anatara kita habiskan masa berjam-jam bertanya anak-anak tentang sekolah, rakan, peperiksaan, pertandingan dan sebagainya. Tetapi apabila menyentuh soal kesihatan tubuh badan, seksualiti, dan kerentanan anak-anak, kita memilih untuk berdiam. Kerana segan dan malu. Atau mungkin kerana ibu bapa kita sendiri tak pernah berbuat demikian.

Tetapi berdiam diri bukanlah satu bentuk perlindungan. Berdiam diri hanya mendedahkan anak-anak kita kepada bahaya. Berdiam diri hanya membina tembok pemisah antara kita dan anak-anak.

Anak-anak remaja sentiasa ingin tahu. Persoalannya: adakah mereka akan menemui jawapan daripada kita, atau mereka akan mencarinya di internet, dalam pelukan rakan sebaya, atau lebih buruk, di tangan pemangsa?

Image from: Geng Budak Sekolah: Salah Siapa Sebenarnya?
Gambar sekadar hiasan (kredit: Canva)

Apa Yang Perlu Berubah

Melindungi anak-anak memerlukan lebih daripada sekadar undang-undang. Ya, Parlimen boleh berdebat. Agensi penguatkuasa boleh menyiasat. Tetapi jika ibu bapa tidak mengambil tanggungjawab - jika kita terus mengelak berbicara tentang seks, persetujuan, dan keselamatan - maka kita hanya menunggu tajuk berita seterusnya.

Kerana kejutan sebenar bukanlah bahawa seorang budak 12 tahun mampu mengendalikan “sex ring” atas talian pada tahun 2025. Kejutan sebenar ialah kita, sebagai ibu bapa dan orang dewasa, masih berpura-pura tidak tahu bagaimana anak-anak berfikir, bereksperimen, dan cenderung seksualiti.

Dan jika kita terus berpura-pura, kita pasti tidak akan dapat melindungi mereka.


Fa Abdul (fa.abdul.my@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.