Geng Fitri curi kabel demi dadah

23 Jul 2026 • 4:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Geng Fitri curi kabel demi dadah

ALOR SETAR – Taktik sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Fitri menyamar sebagai kontraktor penyelenggaraan kabel untuk mencuri kabel utiliti berakhir apabila tujuh suspek diberkas polis di Pendang dan Sungai Petani, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu menjual kabel yang dicuri kepada pembeli barangan terpakai sebelum menggunakan wang diperoleh untuk perbelanjaan harian serta membeli dadah.

Kata beliau, tangkapan melibatkan enam lelaki termasuk suspek utama berusia 22 tahun dengan seorang wanita berusia 27 tahun yang merupakan kekasihnya.

“Semua suspek lelaki didapati positif dadah termasuk jenis methamphetamine serta turut mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah kecurian dan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu susulan laporan kejadian curi kabel di Taman Jati, Kuala Nerang dekat sini pada 29 Jun lalu sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap mengesan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipercayai digunakan kumpulan tersebut.

“Polis bertindak mengejar kenderaan tersebut dari Tandop Besar menuju Pendang dan Bedong sebelum penjenayah meloloskan diri di kawasan ladang kelapa sawit,” ujarnya.

Kata beliau, hasil risikan membawa kepada penahanan lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar benteng dan terjunam ke dalam parit ketika cuba ditahan polis di Kampung Titi Akar, Pendang pada 14 Julai lalu.

“Susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki tempatan ditahan di sekitar Sungai Petani kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan tersebut. Hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah bersama lapan lagi rakan yang masih bebas.

“Mereka turut mengaku terlibat dalam 12 kes jenayah iaitu empat kes curi kabel, satu kes curi kereta, tiga kes curi komponen kenderaan, dua kes curi diesel, satu kes pecah kontena dan satu kes pecah cermin kenderaan di Kedah, selain masing-masing satu kes curi kabel di Pulau Pinang dan Perlis,” jelasnya.

Adzli berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak awal Jun lalu dengan menggunakan kenderaan curi sebelum menyamar sebagai kontraktor pembaikan kabel lengkap dengan pelbagai peralatan khas bagi mengaburi pihak berkuasa.

Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah pikap Isuzu yang nombor casis dan enjinnya telah dicanai, sebuah Honda Civic FD, pelbagai alat pemotong kabel, safety vest, kunci manhole, alat pengesan logam, mesin gerudi dan pelbagai peralatan lain.

Polis sedang mengesan lapan lagi anggota kumpulan yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

The post Geng Fitri curi kabel demi dadah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved