Geng Hadi lerai motosikal curi, buang rangka dalam sungai

22 May 2026 • 12:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Geng Hadi lerai motosikal curi, buang rangka dalam sungai
Polis berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di sekitar Sentul selepas menahan enam ahli Geng Hadi.
Image from: Geng Hadi lerai motosikal curi, buang rangka dalam sungai
Jasni (kanan) menunjukkan rangka motosikal yang dirampas.

KUALA LUMPUR - Taktik sekumpulan pencuri motosikal dikenali sebagai ‘Geng Hadi’ meleraikan motosikal curi sebelum komponennya dijual dan rangka dibuang ke dalam sungai di sekitar Kepong terbongkar selepas enam suspek diberkas polis, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sejak Februari lalu dengan menyasarkan kawasan perumahan.

"Kita menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang bekerja sebagai penghantar surat berhubung kehilangan motosikal jenis Honda EX5 di tempat letak motosikal Blok A Flat Taman Mutiara Fadason pada 13 Mei lalu.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 15 hingga 33 tahun," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.

**media[3529196]**

Jasni berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu diketuai seorang suspek dikenali sebagai Hadi.

Menurutnya, motosikal yang dicuri akan dibawa ke sebuah stor di Kepong sebelum dileraikan bagi mendapatkan komponen tertentu untuk dijual serta kegunaan sendiri.

“Rangka motosikal yang sudah dileraikan pula akan dibuang ke dalam sungai sekitar Kepong bagi menghapuskan bukti,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut merampas dua motosikal, lima rangka motosikal dalam keadaan tidak sempurna, satu set penutup motosikal dan dua telefon bimbit.

"Kita berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di sekitar Sentul dengan jumlah kerugian dianggarkan RM20,000.

“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula 17 Mei lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah Jasni, siasatan juga mendapati suspek bawah umur tidak bersekolah manakala suspek dewasa pula merupakan penganggur.

View Original Article