
Kota Kinabalu: Polis Sabah menumpaskan kumpulan pecah rumah dikenali sebagai “Geng Raqib” yang aktif sejak pertengahan tahun lalu dan melakukan sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah di negeri ini, berikutan penahanan lima individu termasuk ketua kumpulan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim, berkata tangkapan itu dibuat dalam dua serbuan berasingan di sini dan di Beaufort pada Isnin.
“Dengan tangkapan itu, beberapa kes pecah rumah di Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Ranau, Sipitang dan Beaufort berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau menyifatkan kejayaan menumpaskan “Geng Raqib” itu merupakan hasil risikan dan siasatan sejak tahun lepas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
SPONSORED CONTENT Sabah's Mengalum for world’s first net zero carbon island resort Taiwan’s Sinyi Group is on track to unveil the world’s first unique net zero carbon island resort on Mengalum Island. . Read more “Kami menerima laporan daripada seorang mangsa pada 17 Feb lepas yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga bernilai RM96,000 dilarikan.
“Bertindak atas maklumat, kami berjaya menahan tiga lelaki di sebuah rumah pukul 7 pagi di Kampung Kekeru Kota Klias, Beaufort, pada Isnin (19 Feb).
“Sebuah kenderaan, komputer riba, wang tunai, telefon bimbit dan satu set kunci turut dirampas,” kata Azmi
Menurutnya, siasatan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 33, 37 dan 39 tahun itu mendapati mereka terbabit dalam 17 kes pecah rumah di beberapa daerah.
Ini terdiri daripada 11 kes di Sandakan, Ranau (dua kes) dan masing-masing satu kes di Penampang, Ranau, Putatan, Inanam dan Kudat.
“Modus operandi geng ini ialah melepak di kawasan perumahan mewah. Mereka akan membunyikan loceng rumah dan bertanya khabar bagi mengenal pasti sama ada rumah itu berpenghuni atau sebaliknya. Jika tiada jawapan, suspek akan menceroboh masuk dan melarikan barangan berharga,” katanya.
Selepas melakukan jenayah itu, Azmi berkata, suspek akan lari ke sebuah rumah di Beaufort.
Siasatan lanjut katanya, mendapati ketua kumpulan itu mempunyai 21 kes jenayah.
“Dua daripada suspek adalah warga tempatan manakala seorang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Susulan siasatan lanjut, pasukan operasi menahan dua lagi individu berusia 26 dan 23 tahun di Kota Kinabalu pada Isnin. Kedua-dua suspek ini bertindak sebagai pembeli barangan yang dicuri oleh ketiga-tiga suspek yang ditahan sebelum ini.
“Soal siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan terhadap semua anggota kumpulan itu dan usaha mengesan rakan sejenayah sedang dijalankan,” kata Azmi.
Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 26 Feb ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
