Gentari, AM Green jalin kerjasama pacu pengeluaran hidrogen hijau berskala besar 

Business & Finance
30 Oct 2023 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gentari, AM Green jalin kerjasama pacu pengeluaran hidrogen hijau berskala besar

zulfadli

30/10/2023 - 10:52

KUALA LUMPUR 30 Okt - Gentari Sdn Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Gentari International Renewables Pte Ltd memeterai perjanjian dengan AM Green BV untuk bersama-sama melabur, secara berfasa, ke dalam platform ammonia hijau, AM Green Ammonia Holdings BV.

AMG Ammonia ditubuhkan oleh pengasas Greenko, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka di India. Gabungan entiti pelaburan Singapura, GIC, juga merupakan pelabur dalam AMG Ammonia.

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, ketika pihaknya mengembangkan portfolio rumusan tenaga bersih di Malaysia, Asia Pasifik dan seterusnya, percaya pada kepentingan kritikal kerjasama peringkat industri yang menggabungkan kekuatan pelengkap dan membuka kunci sinergi.

"Perkongsian dengan AM Green dan GIC ini adalah bukti komitmen kami dalam mempercepatkan penggunaan hidrogen hijau secara global, untuk memberi impak dalam mengejar masa depan sifar bersih.

"Di OECD, ekonomi Asia Tenggara dan Timur, ammonia hijau akan menangani penyahkarbonan industri seperti penjanaan kuasa, melalui pembakaran bersama, serta perkapalan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Bagi Gentari, kerjasama kukuh dalam pasaran tumpuannya di Malaysia dan Asia Pasifik yang lebih luas, akan menjadi penting untuk menyampaikan cita-cita globalnya sehingga 1.2 MTPA dalam hidrogen bersih menjelang 2030.

Di Malaysia, syarikat itu melihat potensi yang kukuh untuk membangunkan ekonomi hidrogen tempatan.

image is not available

Untuk tujuan ini, Gentari menjalankan usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab eksport hidrogen yang mana usaha niaga hidrogennya akan menyokong pelan hala tuju nasional yang komprehensif yang merangkumi hidrogen sebagai tuil peralihan tenaga untuk Malaysia.

Usaha ini termasuk bekerjasama dengan SEDC Energy Sdn Bhd Sarawak untuk bersama-sama meneroka potensi negeri sebagai hab pengeluaran hidrogen hijau.

Pada masa sama, Gentari turut bekerjasama dengan Petronas dan Tenaga Nasional Berhad untuk memajukan kajian pembangunan hidrogen hijau di Kerteh, Terengganu dan Pengerang, Johor ke arah mewujudkan ekonomi hidrogen di Malaysia.

Eksport pertama ammonia hijau daripada platform ini disasarkan menjelang akhir 2025, dan menyasarkan untuk melayani pasaran OECD utama, seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan, serta Singapura. - DagangNews.com