
Meskipun kereta elektrik (EV) makin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, isu pengecasan yang masih tidak mencukupi masih menjadi isu penting lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.
Dengan lebih banyak kereta elektrik melakukan perjalanan jarak jauh, pengecasan lebih kerap dilakukan dan ini memberikan sedikit kerisauan perjalanan apabila terdapat pengguna yang membiarkan kenderaan di ruang pengecas selepas kenderaan habis dicas.

Bagi membendung perkara ini, Gentari kini memperkenalkan caj melahu (idle fee) pada ke semua pengecas mereka seluruh negara, kecuali di hotel dan kawasan peranginan. Bagi kereta elektrik yang mengecas melebihi 100%, akan dikenakan caj RM 0.40/minit selepas 15 minit tamatnya pengecasan.

Dengan ini sekiranya kereta telah habis dicas, pemandu perlu mengalihkan kenderaan bagi mengelakkan timbunan caj melahu yang bakal dikenakan. Caj melahu ini akan menggantikan ‘Overstay Fee’, yang mana sebelum ini dikenakan selepas 4 jam pengecasan AC, atau 1 jam selepas pengecasan DC.
Caj melahu ini bukanlah sesuatu yang baharu dengan penyedia pengecasan yang lain termasuk Chargesini dan TIME Charge ’n Go turut mempunyai polisi yang sama. Polisi ini diharapkan membuatkan pemilik EV mengalihkan kenderaan mereka sebaik sahaja usai pengecasan penuh tetapi masih tidak berkesan sekiranya wujud golongan yang tidak kisah dengan caj melahu.

