Gentari labur dalam projek angin luar pesisir, bekal tenaga bersih kepada 1 juta pengguna di Taiwan
herman
04/01/2024 - 12:19
KUALA LUMPUR 4 Jan – Gentari Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Gentari International Renewables Pte Ltd melabur dalam projek angin luar pesisir Hai Long yang terletak di luar pantai Changhua, Selat Taiwan.
Pelaburan ini sekali gus menambah kapasiti tenaga angin luar pesisir dalam portfolio Gentari selaku pembekal penyelesaian tenaga bersih.
Menerusi pelaburan berkenaan, Gentari memiliki 49 peratus pegangan dalam pemilikan projek milik Northland Power Inc dari Kanada bersamaan dengan kepentingan ekuiti tidak langsung sebanyak 29.4 peratus.
Northland memegang kepentingan pemilikan sebanyak 30.6 peratus dalam keseluruhan projek berkenaan dan akan terus memainkan peranan utama dalam pembinaan dan operasi projek yang dibangunkan secara usaha sama antara Northland dan Mitsui & Co dari Jepun.
Projek ini mengandungi dua fasa dengan mempunyai kapasiti penghasilan yang dijangka sebanyak 1,022 megawatt (MW) dan akan memainkan peranan penting membantu Taiwan mencapai sasaran tenaga boleh baharu sebanyak 15 gigawatt (GW) daripada projek angin luar pesisir antara 2026 dan 2035.
Apabila beroperasi kelak, Hai Long akan menjadi projek angin luar pesisir terbesar di pulau itu, selain menjadi salah satu kemudahan angin luar pesisir terbesar di Asia.
Projek ini mampu memebakalkan tenaga bersih kepada lebih sejuta isi rumah serta industri di Taiwan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, bagi membawa Gentari ke hadapan dalam industri angin luar pesisir, pelaburan ini adalah langkah ke arah merealisasikan aspirasi tenaga bersih dan tonggak penting dalam komitmen untuk membantu memajukan penggunaan tenaga boleh baharu di seluruh dunia.
Menurut beliau, projek ini bukan hanya sejajar dengan visi untuk masa depan yang mampan malah berhasrat untuk memberi sumbangan dengan penuh bermakna.
"Kami juga berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan Gentari sebagai rakan penyelesaian tenaga bersih yang bernilai dalam mencapai matlamat sifar bersih.
"Aspirasi global Gentari termasuklah membina kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 30 hingga 40 GW menjelang 2030 melalui projek-projek di sektor solar, angin darat dan luar pesisir serta penyimpanan bateri, dengan menumpukan kepada pelanggan berskala utiliti, komersial, industri dan runcit," katanya.- DagangNews.com

