Gentari lantik Navjit Gill sebagai Ketua Negara bagi India

Business & Finance
18 Jul 2023 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gentari lantik Navjit Gill sebagai Ketua Negara bagi India

diyana

18/07/2023 - 14:34

KUALA LUMPUR 18 Julai - Penyedia rumusan tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd telah melantik veteran industri tenaga, Navjit Gill sebagai Ketua Negara baharunya untuk India, berkuat kuasa 10 Julai 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata pengalaman luas Navjit dalam sektor tenaga India menjadikannya kelebihan kepada pasukan Gentari India.

“Dengan India semakin meningkatkan tumpuan dalam mencapai matlamat sifar bersih, negara itu memberikan peluang yang luas kepada pemain swasta global untuk menyumbang.

“Ketika India berkembang pesat untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia dan pengguna tenaga ketiga terbesar, kepakaran Navjit akan membolehkan kami memanfaatkan pertumbuhan ini dan memberi impak yang ketara,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Menurut syarikat itu, inisiatif Gentari India akan melengkapkan aspirasi global Gentari 2030 dalam membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui melebihi 30 gigawatt (GW) dan membekalkan lebih 700,000 tan hidrogen bersih setahun.

Navjit mempunyai pengalaman selama 34 tahun dalam sektor tenaga dan marin, di mana beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif First Energy Pvt Ltd dan Ketua Pegawai Komersial di SB Energy.

Sepanjang kerjayanya yang cemerlang, beliau telah memegang jawatan penting di GE Renewables India Pvt Ltd, Rolls-Royce Marine India Pvt Ltd, dan KSK Energy Ventures, mengukuhkan lagi kepakaran dan pencapaiannya dalam industri tenaga.

"Kami yakin terhadap Navjit akan mencapai kejayaan dalam membangunkan tiga tonggak teras kami iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau," kata Purohit. - DagangNews.com